Media perlu lapor naratif tepat isu penyelesaian sempadan Malaysia-Indonesia - ISWAMI

ISWAMI berharap media massa memberikan laporan yang tepat, benar serta berpegang kepada prinsip dan etika kewartawanan.
ISWAMI berharap media massa memberikan laporan yang tepat, benar serta berpegang kepada prinsip dan etika kewartawanan.
A
A
A

SHAH ALAM - Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) meminta media kedua-dua negara supaya memberikan naratif yang tepat berkaitan isu penyelesaian sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara (Kaltara).

Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan ‘Outstanding Boundary Problem’ (OBP) itu telah dilaksanakan secara harmoni serta tidak bersandarkan kepada prinsip timbal balik, pampasan atau untung rugi.

"ISWAMI berharap media massa memberikan laporan yang tepat, benar serta berpegang kepada prinsip dan etika kewartawanan.

“Selain itu, tidak memberikan naratif yang boleh mengeruhkan hubungan baik kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa laporan media bertarikh 22 Januari yang menyatakan ‘Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan’ adalah tidak tepat.

Pemuktamadan pengukuran sempadan darat itu dibuat melalui pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara pada 18 Februari tahun lalu selepas melalui proses rundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.

Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-Kaltara telah dipersetujui semasa lawatan negara bekas Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023.

Proses rundingan turut melibatkan wakil kerajaan negeri Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Zaini memaklumkan, pihaknya yakin pimpinan kedua-dua negara sudah mengambil pendekatan diplomasi berlandaskan semangat muhibah dan setiakawan.

Artikel Berkaitan:

“ISWAMI juga berharap kerajaan kedua-dua negara memberikan taklimat khas kepada media.

“Ia bagi menjelaskan isu berkenaan supaya lebih jelas untuk dihebahkan kepada rakyat dan tidak menimbulkan pelbagai spekulasi negatif,” ujar beliau.

Ringkasan AI

  • ISWAMI meminta media Malaysia dan Indonesia menyediakan naratif tepat mengenai penyelesaian sempadan Sabah-Kalimantan Utara
  • Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, menyatakan rundingan penandaan sempadan dilaksanakan secara harmoni
  • Media diminta menyampaikan laporan yang akurat dan etis untuk menjaga hubungan baik kedua negara
  • Rundingan sempadan Sabah-Kalimantan berlangsung lebih 45 tahun dan melibatkan wakil kerajaan negeri Sabah
  • ISWAMI berharap kedua-dua kerajaan memberi taklimat khas kepada media untuk menjelaskan isu sempadan secara lebih jelas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!