Tiga treler bawa sisa elektronik haram bernilai RM3.8 juta ditahan

Tiga buah treler membawa muatan sisa komponen elektronik tanpa kebenaran berjaya dipatahkan di Bukit Selambau pada awal pagi Rabu.
Tiga buah treler membawa muatan sisa komponen elektronik tanpa kebenaran berjaya dipatahkan di Bukit Selambau pada awal pagi Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tindakan berani tiga lelaki membawa hampir 99,000 kilogram sisa komponen elektronik atau e-waste tanpa kebenaran berjaya dipatahkan dalam satu operasi khas Op Hazard yang dijalankan awal pagi Rabu.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, tiga lelaki tersebut ditahan kerana disyaki membawa muatan sekerap logam, sisa plastik dan mesin penghancur logam dianggarkan bernilai RM3.8 juta secara tidak sah menggunakan treler di Bukit Selambau.

Menurutnya, tiga lelaki tempatan berusia antara 36 hingga 52 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil risikan sejak seminggu lalu mendapati terdapat kegiatan membawa masuk sisa elektronik secara haram ke kawasan Kuala Muda.

“Operasi bersepadu itu diketuai Cawangan Risik Batalion 18 PGA dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sungai Petani, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Kuala Muda,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Shahrum berkata, dalam operasi bermula jam 1 pagi hingga 6.45 pagi pada Rabu itu berjaya mengesan tiga lori treler jenis Volvo membawa pelbagai sisa komponen elektronik dalam perjalanan ke sebuah gudang.

“Pemeriksaan terhadap treler berkenaan menemui 60 beg jumbo sisa e-waste seberat 60,000 kilogram, 20 beg sisa skrap logam (20,000 kilogram), 19 beg sisa plastik (19,000 kilogram) serta dua mesin penghancur logam, dengan jumlah keseluruhan rampasan 99,000 kilogram,” ujarnya.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk treler dianggarkan mencecah RM5.35 juta.

“Tangkapan serta barangan rampasan telah diserahkan kepada JAS Sungai Petani untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 18(1A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM25,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut Shahrum, Briged Utara PGA akan terus mempergiatkan rondaan dan pengawasan di sekitar Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi membanteras kegiatan pemprosesan sisa e-waste tanpa lesen.

“PGA tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan undang-undang dan menyeru masyarakat menjadi mata serta telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tentang aktiviti haram di kawasan masing-masing,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Tiga lelaki ditahan kerana membawa 99,000 kilogram sisa komponen elektronik tanpa kebenaran di Sungai Petani
  • Muatan tidak sah bernilai RM3.8 juta ditemui menggunakan treler di Bukit Selambau
  • Operasi Op Hazard mengesan aktiviti penghantaran e-waste haram ke Kuala Muda
  • Rampasan termasuk 60,000 kilogram sisa e-waste dan mesin penghancur logam dengan nilai keseluruhan RM5.35 juta
  • Kes disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, tindakan tegas PGA terhadap pemprosesan sisa e-waste tanpa lesen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!