Tukang paip dijel dua tahun, denda RM5,000 tipu baucar warga emas RM100,000

Wing Kit berbaju T warna putih, dihukum penjara dua tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
Wing Kit berbaju T warna putih, dihukum penjara dua tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA – Seorang tukang paip dihukum penjara dua tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan menipu seorang bekas penjual mi, kononnya akan menerima baucar bantuan warga emas sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian mencecah RM100,000, Julai tahun lalu.

Tan Wing Kit, 26, dikenakan hukuman itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Ezrene Zakariah. 

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa menipu seorang wanita berusia 72 tahun, dengan memperdayakannya berhubung wang bantuan kewangan kepada warga emas.

Tertuduh dengan curangnya mendorong wanita terbabit menyerahkan wang berjumlah RM100,000 sedangkan dia tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan, di sebuah bank di Presint 15 di sini pada 21 Julai 2025.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika keluar dari sebuah pasar raya, mangsa didatangi dua individu, menyatakan dia layak menerima baucar warga emas bernilai RM500 dari sebuah bank.

Individu itu kemudian membawa mangsa ke sebuah bank di Kepong lalu mereka menyerahkan RM500 hasil penebusan baucar berkenaan.

Selepas itu, mereka mendesak mangsa mengeluarkan wang simpanan kononnya boleh mendapatkan baucar dengan nilai yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang percaya dengan perkara tersebut, kemudiannya pulang ke rumah di Taman Kok Lian di sini untuk mengambil buku bank lalu bertolak ke sebuah bank di Putrajaya.

Mangsa mengeluarkan RM100,000 dan memberikannya kepada mereka, namun dua individu tersebut masih tidak berpuas hati lalu meminta mangsa membuat satu lagi pengeluaran tambahan sebanyak RM200,000 di bank lain.

Bagaimanapun taktik mereka berjaya dihidu pihak bank.

Individu itu melarikan diri selepas pegawai meminta kad pengenalan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi.

Ringkasan AI

  • Seorang tukang paip dihukum penjara dua tahun dan denda RM5,000 kerana menipu seorang bekas penjual mi sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM100,000
  • Tertuduh menipu dengan mengaku akan memberikan baucar bantuan warga emas
  • Pemuda itu didakwa menipu wanita berusia 72 tahun
  • Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan
  • Mangsa percaya dan mengeluarkan RM100,000 dari bank di Putrajaya setelah ditipu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!