Cabaran gubal dan laksana transformasi pendidikan tinggi di Malaysia

APABILA saya dilantik pada 31 Mei 2023, landskap pendidikan tinggi Malaysia sedang berada dalam fasa peralihan penting dengan dunia pascapandemik, ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi yang mendadak serta tuntutan generasi muda yang semakin kritikal terhadap makna pendidikan, pekerjaan dan kehidupan.
Dalam konteks inilah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang lahir daripada kepimpinan strategik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mula dirangka.
Sementara Perdana Menteri memberikan panduan falsafah dan hala tuju besar negara, RPTM 2026–2035 dipandu secara dasar oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir yang menterjemahkan visi tersebut ke dalam kerangka dasar sektoral.
Ia seterusnya diselaraskan secara operasi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi manakala saya pula bertanggungjawab memastikan kesinambungan dasar, ketelitian teknikal dan kejelasan pelaksanaan agar visi nasional benar-benar dapat diterjemahkan di peringkat sistem dan institusi.
Usaha ini dibantu oleh Jawatankuasa Penasihat dan Jawatankuasa Pemandu yang memastikan keseimbangan antara idealisme dasar dan realiti pelaksanaan.
Dalam tempoh ini juga, kepimpinan kementerian, pasukan petugas, kumpulan pakar dan penulis serta pengurusan projek dan sekretariat bekerja secara berterusan untuk memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan data, pengalaman lapangan dan keperluan sebenar sistem.
Inilah manifestasi sebenar pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-nation’ dalam pembangunan dasar pendidikan tinggi yang dibangunkan melalui tiga fasa yang tersusun.
Pada fasa pertama, antara Mei hingga Julai 2024, kementerian melaksanakan semakan, penilaian dan analisis prestasi semasa secara menyeluruh.
Pada fasa kedua, antara Ogos hingga Oktober 2024, dapatan empirikal daripada fasa pertama serta maklum balas awal pihak berkepentingan digunakan untuk merumuskan 10 lonjakan strategik.
Pada fasa ketiga, antara November 2024 hingga Februari 2025, pelan ini dimuktamadkan melalui libat urus awam membabitkan 6,410 pihak berkepentingan dalam perbincangan kumpulan fokus dan sesi pengesahan serta 1,816 pihak berkepentingan dalam tinjauan.
Pendekatan ini memastikan RPTM 2026–2035 benar-benar mencerminkan suara ekosistem pendidikan tinggi negara.
Prestasi semasa: Bukti kerja keras dan kenyataan nyata
Dalam aspek akses, sistem pendidikan tinggi Malaysia telah menunjukkan kemajuan yang ketara. Kadar enrolmen pendidikan tinggi meningkat daripada 48 peratus pada tahun 2014 kepada 59 peratus pada 2024.
Penawaran tempat baharu pula mencecah 1.5 juta antara tahun 2014 hingga 2024, jauh melepasi sasaran asal 1.1 juta, sekali gus menunjukkan keupayaan sistem untuk berkembang secara fizikal dan institusional.
Dari segi kualiti, kadar kebolehpasaran graduan meningkat daripada sekitar 75 peratus pada tahun 2014 kepada 92.5 peratus pada tahun 2024, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan.
Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan penjajaran kurikulum, penglibatan industri dan sokongan kebolehkerjaan yang telah dilaksanakan sepanjang dekad lalu.
Dalam konteks kedudukan serantau dan global, lima universiti Malaysia kini berada dalam kelompok 200 terbaik global.
Kedudukan Malaysia sebagai sistem pendidikan terbaik ke-14 dunia berdasarkan Indeks Pendidikan Global 2024 membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha yang telah dilaksanakan.
Dalam bidang penyelidikan, antara tahun 2015 hingga 2022, bilangan penerbitan meningkat sebanyak 1.7 kali ganda manakala sitasi meningkat hampir dua kali ganda.
Nilai harta intelek yang dijana mencecah RM3.73 bilion, menunjukkan peralihan daripada aktiviti penyelidikan semata-mata kepada penyelidikan yang memberi nilai ekonomi dan sosial.
Dalam aspek kesaksamaan, penyertaan pelajar daripada kumpulan B40 kini mencapai 68 peratus, manakala enrolmen pelajar Orang Asli meningkat daripada 480 kepada 1,006 pelajar dari tahun 2015 hingga 2023.
Dari sudut perpaduan, Indeks Patriotisme dan Perpaduan Negara (iPPN) mencatatkan skor penilaian kendiri 90 peratus, menandakan perpaduan yang kukuh dalam kalangan pelajar IPT.
Dari sudut kecekapan, kos per pelajar berjaya diurus dengan lebih berhemat, menurun daripada RM21,000 pada tahun 2014 kepada RM19,000 dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tanpa menjejaskan kualiti pendidikan. Ini mencerminkan usaha berdisiplin dalam pengurusan kewangan awam.
Kesemua pencapaian ini membuktikan bahawa sistem pendidikan tinggi Malaysia telah mencapai kejayaan memberangsangkan.
Namun, kejayaan ini tidak boleh menjadikan kita selesa. Cabaran masa hadapan menuntut lonjakan baharu daDan usaha berterusan.
10 lonjakan strategik
RPTM 2026–2035 memperkenalkan Fokus Pendidikan Tinggi Baharu yang merangkumi peralihan daripada sistem yang terpisah kepada ekosistem yang saling melengkapi; daripada pencari kerja kepada pencipta pekerjaan; daripada output kepada impak; dan daripada prosedur kepada kepimpinan intrapreneurial.
Segala usaha ini berpaksikan empat nilai teras, iaitu berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan prinsip Madani.
Dari sini lahirlah 10 Lonjakan Strategik RPTM 2026–2035 yang dirangka dengan satu kesedaran asas bahawa pendidikan tinggi Malaysia tidak lagi berada pada fasa pembinaan awal, sebaliknya sedang berada pada fasa penentuan arah jangka panjang.
Lonjakan yang memberi penekanan kepada pembelajar berpaksikan kemanusiaan lahir daripada pemerhatian langsung terhadap realiti kampus.
Institusi Pendidikan Tinggi telah berjaya melahirkan graduan yang kompeten dan boleh bekerja, namun dekad akan datang menuntut graduan yang lebih berimbang dari segi nilai, empati dan ketahanan emosi.
Pembangunan bakat berprestasi tinggi pula tidak lagi boleh dihadkan kepada kebolehpasaran semata-mata.
Pengalaman pelaksanaan dasar sebelum ini menunjukkan bahawa bakat yang benar-benar bernilai ialah bakat yang mempunyai kejelasan tujuan.
Oleh itu, lonjakan ini memfokuskan pembentukan pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja cekap, tetapi mampu memacu perubahan dan memikul tanggungjawab sosial.
Dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendekatan RPTM 2026–2035 adalah bersifat ‘deliberate repositioning’.
TVET tidak lagi dilihat sebagai laluan alternatif, tetapi sebagai komponen strategik pembangunan negara. Pengalaman lalu menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dan kini tiba masanya TVET diperkukuh sebagai laluan arus perdana yang setara dari segi martabat, kualiti dan prospek.
Kemampanan kewangan institusi pula ditangani secara berhemah dan realistik. Sistem pendidikan tinggi telah menunjukkan disiplin fiskal yang baik, namun lonjakan ini dapat terus memastikan institusi mempunyai ruang keanjalan yang lebih besar untuk berinovasi tanpa menjejaskan akses dan keadilan sosial.
Tadbir urus yang lebih tangkas menjadi keperluan mendesak apabila sistem semakin kompleks. RPTM 2026–2035 memperkukuh prinsip autonomi bertanggungjawab, kepimpinan beretika dan pembuatan keputusan berasaskan bukti, hasil daripada pengajaran langsung sepanjang pelaksanaan pelan terdahulu.
Lonjakan Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) menandakan peralihan yang lebih matang. KPT telah berjaya meningkatkan jumlah dan kualiti penyelidikan dan kini fokusnya adalah memastikan penyelidikan tersebut benar-benar relevan, bertanggungjawab dan memberi impak serta manfaat kepada komuniti setempat, negara serta masyarakat global.
Keunggulan global pula tidak lagi diukur semata-mata melalui kedudukan penarafan. RPTM 2026–2035 mentakrifkan keunggulan sebagai keupayaan Malaysia untuk menjadi rakan strategik ilmu, hab bakat antarabangsa dan penyumbang pemikiran global.
Pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat diperluas sebagai respon kepada perubahan struktur demografi dan pasaran kerja.
Ini adalah pengiktirafan bahawa pembelajaran kini bersifat berterusan dan tidak terhad kepada usia atau laluan konvensional.
Agenda kemampanan dan kesihatan bumi pula diarusperdanakan kerana institusi pendidikan tinggi turut mempunyai tanggungjawab moral dan intelektual dalam menangani krisis iklim. RPTM 2026–2035 jelas meletakkan universiti sebagai pemacu penyelesaian, bukan pemerhati.
Akhir sekali, lonjakan penyampaian responsif dan dinamik mencerminkan tekad untuk memastikan dasar tidak terhenti di atas kertas.
Sistem yang telah berjaya perlu kekal peka, mendengar dan menyesuaikan diri dengan perubahan mendatang.
Kesepuluh lonjakan strategik RPTM 2026–2035 ini dirangka dengan satu disiplin penting, iaitu setiap lonjakan adalah berdandarkan kepada justifikasi, sasaran dan laluan pelaksanaan yang boleh diukur.
Inilah kekuatan utama RPTM 2026–2035, iaitu ia mempunyai peta jalan yang jelas dan bersifat 'living document' bagi membolehkan KPT terus merancang dan bertindak mengikut perubahan atau situasi semasa.
Pelaksanaan dalam tiga gelombang
Pengalaman mengurus sistem pendidikan tinggi mengajar saya serta pasukan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bahawa reformasi yang terlalu pantas tanpa asas kukuh berisiko gagal dalam pelaksanaan.
Reformasi yang berkesan memerlukan kesabaran, disiplin dan urutan yang betul. Atas sebab itu, RPTM 2026–2035 dilaksanakan melalui tiga gelombang yang jelas.
Gelombang pertama, antara tahun 2026 hingga 2028, memberi tumpuan kepada pembinaan asas. Dalam tempoh ini, penekanan diberikan kepada pengukuhan kerangka perundangan, struktur tadbir urus, nilai teras dan sistem sokongan yang diperlukan bagi menyokong lonjakan strategik. Fasa ini penting untuk memastikan semua institusi bergerak di atas landasan yang sama.
Gelombang kedua, antara tahun 2029 hingga 2031, memfokuskan pemacuan reformasi. Pada tahap ini, inovasi, transformasi struktur, pengantarabangsaan dan peluasan inisiatif utama dipercepatkan. Kejayaan awal daripada gelombang pertama dimanfaatkan untuk memperluas skala dan impak.
Gelombang ketiga, antara tahun 2032 hingga 2035, pula menumpukan pengukuhan dan pengekalan kecemerlangan. Fokusnya adalah kepada pengekalan kualiti, kepimpinan global dan pemantapan reputasi di peringkat antarabangsa bagi memastikan pencapaian yang diraih menjadi sebahagian daripada DNA sistem pendidikan tinggi Malaysia.
Pendekatan berperingkat ini penting bagi memastikan kelestarian reformasi. Ia juga mencerminkan falsafah kepimpinan yang dipegang bersama, iaitu penambahbaikan yang berkesan mesti berperingkat, konsisten dan boleh dipertanggungjawabkan.
Refleksi peribadi
Selaku Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, saya berasakan tanggungjawab yang besar untuk memastikan setiap cadangan dalam RPTM 2026–2035 adil terhadap usaha lalu dan jujur terhadap keperluan masa hadapan.
Merancang gagasan dasar tidak mudah, tetapi lebih mencabar sejauh mana ianya dapat diterjemahkan kepada pelan tindakan dan pelaksanaannya dapat direalisasikan agar perubahan yang dibawa dapat dirasai oleh fraterniti pendidikan tinggi dan pelbagai lapisan masyarakat.
Saya percaya bahawa reformasi yang baik bukanlah tentang menafikan apa yang telah berjaya, tetapi ia adalah tentang memperhalusi apa yang telah terbukti berkesan.
Proses ini menuntut tenaga, masa dan ketahanan emosi yang tinggi. Sepanjang ia berlangsung, saya berpeluang menyaksikan sendiri dari jarak dekat dedikasi, ketekunan dan profesionalisme warga pendidikan tinggi negara.
Namun, kami berasa amat bersyukur dapat menyumbang dalam fasa penting ini demi masa depan pendidikan tinggi negara.
Penat lelah kami menyediakan RPTM 2026–2035 akhirnya terbalas apabila Perdana Menteri, sewaktu meluncurkannya, mengiktiraf usaha tersebut dengan berkata: “Luar biasa, (pelan) ini memang kelas pertama peringkat antarabangsa...”.
Pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi suntikan semangat kepada pasukan yang terlibat, malah mengesahkan kedudukan RPTM 2026–2035 sebagai pelan pendidikan tinggi yang setara dengan amalan terbaik global.
Pada masa yang sama, kami juga bersedia menyahut cabaran beliau untuk “memberikan liputan dan laporan tiap bulan tentang program perlaksanaan pelan ini.”
RPTM 2026–2035 bukan milik satu individu atau satu institusi. Ia adalah amanah bersama. Saya yakin bahawa dengan iltizam bersama, pendidikan tinggi Malaysia bukan sahaja akan kekal relevan, tetapi akan terus menjadi tonggak kemajuan negara.
Bersamalah kita merealisasikan RPTM 2036-2035 dengan penuh amanah, mengambil kira kekangan mendatang dengan penuh responsif dan positif, berdaya tahan untuk terus maju bagi menghasilkan bakat masa datang untuk pembangunan negara secara berterusan.
*Profesor Datuk Dr Azlinda Azman ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
