Helikopter EC 725AP terbangkan dua pesakit dari Pulau Tioman ke HTAA

KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ehsan membawa dua pesakit yang memerlukan rawatan segera dari Pulau Tioman ke Hospital Tunku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Khamis.
TUDM menjelaskan, pesakit terlibat, Nurshuhada Abdul Halim, 33, mengalami kandungan luar rahim manakala Rodzi Sham Hussin, 55, mengalami kegagalan jantung.
Menurutnya, helikopter jenis EC 725AP dari No 10 Skuadron berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan di sini jam 5 petang membawa bersama dua pegawai perubatan dan seorang pembantu perubatan.
"Penerbangan diketuai Mejar Shamie Hazim Samsu dan Kapten Ismail Mohd Said tiba di Pulau Tioman jam 6.15 petang.
"Selepas mengambil dua pesakit itu, pesawat berlepas semula ke Kuantan jam 6.30 petang dan tiba kira-kira sejam kemudiannya," katanya melalui satu kenyataan di Facebook.
Jelas kenyataan itu, kedua-dua pesakit kemudiannya terus dibawa ke HTAA menaiki ambulans.

Sementara itu ujarnya, selaras dengan peranan teras dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan ruang udara negara, pelaksanaan penerbangan ehsan tersebut juga mencerminkan keupayaan serta kesiapsiagaan TUDM dalam mengimbangi tuntutan operasi ketenteraan serta tanggungjawab sosial.
Menurutnya, inisiatif itu memperlihatkan komitmen berterusan TUDM dalam menyokong kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan Operasi Ketenteraan Selain Peperangan (MOOTW) yang digariskan dalam peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Seluruh warga TUDM mendoakan semoga kedua-dua pesakit dipermudahkan segala urusan rawatan dan dijauhkan daripada segala kemudaratan serta diberikan kesembuhan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Tentera Udara Diraja Malaysia melaksanakan penerbangan ehsan dari Pulau Tioman ke Hospital Tunku Ampuan Afzan
- Pesakit Nurshuhada Abdul Halim mengalami kandungan luar rahim dan Rodzi Sham Hussin mengalami kegagalan jantung
- Helikopter jenis EC 725AP dari No 10 Skuadron terlibat dalam operasi ini
- Penerbangan diketuai oleh Mejar Shamie Hazim Samsu dan Kapten Ismail Mohd Said
- Inisiatif ini mencerminkan kesiapsiagaan TUDM dalam mengimbangi tuntutan operasi ketenteraan serta tanggungjawab sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

