E-waste: SPRM tahan enam individu, beku 14 akaun syarikat

KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu dan membekukan 14 akaun syarikat bernilai RM7.2 juta susulan kemasukan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua suspek kini ditahan reman manakala dua lagi pemilik syarikat akan dilakukan dalam masa terdekat.
"Setakat ini kita mengesan tujuh syarikat di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang dipercayai mendalangi kemasukan e-waste ke negara ini.
"Ia dikesan telah melakukan aktiviti tersebut sejak lima tahun lalu," katanya pada Khamis.
Menurut beliau, dalam isu tersebut pihaknya tidak menyalahkan agensi penguat kuasa.
Ini kerana katanya, mereka yang terlibat akan sentiasa mencari jalan untuk membawa masuk bahan terlarang itu ke dalam negara.
Beliau menegaskan, orang ramai perlu diberi kefahaman bahawa undang-undang negara tidak membenarkan kemasukan e-waste, malah aktiviti ini turut dianggap haram oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Langkah menangani kemasukan e-waste ke dalam negara ini juga tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu JAS (Jabatan Alam Sekitar) dan JKDM (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) tetapi menuntut kerjasama pelbagai pihak.
"Terdapat beribu kontena memasuki pelabuhan setiap hari dan kita tidak boleh semberono menuduh JAS dan JKDM kerana bukan mudah untuk mereka mengesan kemasukan e-waste yang kadangkala disorokkan di belakang barangan-barangan lain yang memasuki pelabuhan," jelasnya.
Menurut beliau, disebabkan itu SPRM melihat isu ini tidak boleh ditangani di pusat pemeriksaan sahaja terutama di pelabuhan.
Ujarnya, pasukan termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di bawah 'Multi Agency Task Force' perlu bertindak membasmi perkara ini melibatkan laluan darat.
Ringkasan AI
- SPRM menahan enam individu dan membekukan 14 akaun syarikat berhubung kemasukan sisa elektronik ke Malaysia
- Tujuh syarikat di Selangor dan Negeri Sembilan dipercayai mendalangi kemasukan e-waste selama lima tahun
- Tindakan tersebut tidak ditujukan kepada agensi penguat kuasa kerana pelaku sentiasa mencari jalan membawa masuk bahan terlarang
- Undang-undang negara dan PBB mengharamkan kemasukan e-waste
- Menuntut kerjasama pelbagai pihak termasuk JAS dan JKDM serta AKPS dalam menangani isu kemasukan e-waste
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

