Bekas Panglima Tentera Darat kunci mulut, enggan ulas kes

Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa atas empat pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM2,122,400 antara Februari 2024 hingga November tahun lalu.
Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa atas empat pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM2,122,400 antara Februari 2024 hingga November tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memilih untuk mengunci mulut dan enggan mengulas lanjut ketika meninggalkan pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Beliau yang diiringi dua individu dilihat keluar dari kawasan mahkamah kira-kira jam 3.08 petang, dipercayai selepas selesai membayar wang jaminan sekitar jam 3 petang.

Muhammad Hafizuddeain hanya mengangkat tangan tanpa sebarang kenyataan apabila disapa pengamal media sebelum terus beredar.

Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain dan isteri ketiganya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima hasil aktiviti haram membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM2.19 juta.

Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa atas empat pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM2,122,400 antara Februari 2024 hingga November tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima wang masing-masing RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua institusi perbankan berasingan di Jalan Melaka dan Bukit Damansara di sini, antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai kesalahan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, isteri ketiga tertuduh, Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000.

Wanita itu hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda dipercayai akibat kesakitan di bahagian paha kerana menghidap bisul kronik.

Mengikut pertuduhan, Salwani yang didakwa bertindak sebagai pengawal syarikat Wany Venture menerima wang RM50,000, RM7,000 serta dua transaksi lain masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat berkenaan.

 

Ringkasan AI

  • Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan enggan beri kenyataan selepas membayar jaminan
  • Muhammad Hafizuddeain dan isteri ketiganya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima hasil aktiviti haram lebih RM2.19 juta
  • Muhammad Hafizuddeain didakwa menerima wang haram berjumlah RM2,122,400
  • Kesalahan dilakukan di dua institusi perbankan di Jalan Melaka dan Bukit Damansara
  • Kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai kesalahan atau RM5 juta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!