Lelaki menyamar polis, ugut remaja 17 tahun ditahan

MELAKA - Seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan mengugut seorang remaja perempuan berusia 17 tahun telah ditahan pihak berkuasa pada Selasa lalu.
Mangsa tampil membuat laporan polis selepas bimbang akan keselamatan dirinya apabila suspek berusia 25 tahun didakwa membuat ugutan memuaskan nafsunya sekiranya tidak mahu dikenakan saman.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku pada Ahad sekitar jam 2 pagi, ketika mangsa yang bekerja sebagai juruwang pasar raya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Klebang dengan menunggang motosikal.
Menurutnya, mangsa telah ditahan oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 di Jalan Datuk Seri Haji Mohd Zain, Cheng selepas suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Suspek kemudian meminta kad pengenalan mangsa dan mengambil gambar kad tersebut menggunakan telefon bimbitnya sebelum meminta mangsa membuka telefon bimbit untuk diperiksa.
“Suspek turut membuka aplikasi TikTok mangsa dan menekan butang ‘follow’ sebelum meminta mangsa memuaskan nafsu sekiranya tidak mahu dikenakan saman,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, suspek kemudiannya beredar dari lokasi kejadian sebelum mangsa tampil membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri serta memohon tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan pada Selasa, sekitar jam 6.30 petang di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa gambar dan pautan TikTok yang meminta wanita supaya berhati-hati terhadap seorang individu yang menyamar sebagai anggota unit khas.
Menerusi mesej itu, suspek dipercayai menahan seorang perempuan sebelum meminta wang bagi mengelakkan tindakan saman.
Selain itu, suspek turut mengugut mangsa memuaskan nafsunya selama lima minit jika tidak menyerahkan wang berkenaan.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis dan mengugut remaja perempuan berusia 17 tahun di Melaka
- Suspek berusia 25 tahun ditahan polis selepas mangsa membuat laporan kerana bimbang keselamatan
- Kejadian berlaku ketika mangsa pulang kerja dan ditahan suspek yang menunggang motosikal Yamaha Y15
- Suspek meminta dan mengambil gambar kad pengenalan mangsa, selain meminta memuaskan nafsunya
- Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan menyamar sebagai penjawat awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

