Cederakan wartawan sukan, penghantar barang didenda RM2,000

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap R Krishnan selepas mengaku bersalah mencederakan wartawan sukan Haresh Deol pada November tahun lepas.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap R Krishnan selepas mengaku bersalah mencederakan wartawan sukan Haresh Deol pada November tahun lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang penghantar barang didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah mencederakan wartawan sukan Haresh Deol yang juga Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) pada November tahun lepas.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap R Krishnan, 37, dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Krishnan didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu terhadap Haresh Singh Chain Singh, 44, di depan Bangunan Tanjung Balai Group, Jalan Telawi 3, Bangsar di sini pada 3.10 hingga 3.32 petang 25 November 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Haresh yang juga pengasas bersama portal berita TwentyTwo13 menerusi hantaran di laman X memaklumkan telah diserang dua lelaki ketika menuju ke keretanya manakala seorang lagi merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.

Berdasarkan fakta kes, editor Twentytwo13 itu didatangi tertuduh dan seorang lagi lelaki yang berpura-pura sedang bercakap di telefon ketika berjalan di kawasan berhampiran tempat letak kereta di Bangsar Village 3.

Haresh yang semasa itu baru pulang dari sebuah restoran berasa tidak selamat dan cuba melarikan diri, dikejar lelaki terbabit namun terlanggar seorang pejalan kaki sehingga terjatuh di bahu jalan sebelum dipukul pada bahagian muka dan badan.

Individu yang masih bebas memberitahu mangsa supaya tidak mengganggu isterinya dan apabila ditanya siapa yang dimaksudkan, dua lelaki itu melarikan diri. 

Haresh mengejar dua lelaki itu dan mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan bukti selain kejadian turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) serta disaksikan orang awam.

Artikel Berkaitan:

Mangsa kemudiannya bergegas ke pondok polis berhampiran untuk bantuan dan doktor Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan dirinya mengalami kecederaan tisu lembut serta lebam pada batang hidung, cuping telinga kanan serta dada.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan sama.

"Pengadu diserang dan dipukul secara terang-terangan pada siang hari. Tertuduh serta seorang lagi lelaki yang masih bebas memang sengaja mahu memukul mangsa sehingga mengalami kecederaan

"Perbuatan ini menimbulkan ketakutan kepada orang ramai untuk berjalan di tempat awam. Sekiranya mahkamah memberi hukuman ringan, penjenayah tidak akan gentar untuk melakukan kesalahan sama," katanya.

Peguam Mohamad Salihen Mastor memohon hukuman denda minimum kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung lima anak serta ibu, tiada rekod kesalahan lampau dan menyesal dengan perbuatan itu. - Bernama 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang penghantar barang didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana mencederakan wartawan sukan Haresh Deol
  • Majistret Aina Azahra Arifin juga memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika denda tidak dibayar
  • Krishnan bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan tersebut
  • Kejadian berlaku di depan Bangunan Tanjung Balai Group, Jalan Telawi 3, Bangsar
  • Haresh diserang ketika menuju ke keretanya sementara seorang lagi merakam insiden itu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!