Pelajar 14 tahun dipukul senior ketika perlawanan bola sepak

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun cedera ringan selepas dipukul oleh pelajar senior semasa perlawanan bola sepak di sebuah sekolah di sini, awal September lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira jam 1.50 pagi pada 4 September lalu.
Menurutnya, wanita berkenaan mendakwa anaknya cedera selepas dipukul ketika bermain bola sepak bersama rakan-rakan di sekolah tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa perlawanan bola sepak antara pelajar baharu dengan pelajar senior.
“Dalam perlawanan itu, pelajar senior terbabit menumbuk mangsa sehingga menyebabkan kecederaan calar dan lebam,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan dan disahkan tidak mengalami kecederaan serius atau kekal.
“Pihak sekolah juga telah mengambil tindakan dalaman terhadap pelajar senior yang terlibat,” katanya.
Azli berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Namun katanya, selepas siasatan selesai dan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya, pihak polis menerima arahan supaya tiada pendakwaan dibuat kerana kejadian berlaku semasa perlawanan dan tindakan telah diambil oleh pihak sekolah.
Beliau turut mengingatkan supaya semua pihak menggunakan saluran perundangan yang betul bagi menyelesaikan sebarang isu berkaitan.
“Siasatan sepenuhnya telah selesai dan diklasifikasi berlunaskan hak serta peruntukan perundangan.
“Polis menasihati semua pihak supaya tidak menjadikan kejadian ini sebagai platform untuk meraih publisiti atau kepentingan peribadi,” katanya.
Ringkasan AI
- Pelajar lelaki 14 tahun cedera ringan dipukul oleh senior dalam perlawanan bola sepak di sebuah sekolah di Kuala Terengganu
- Ibu mangsa membuat laporan polis pada 4 September lalu
- Perlawanan bola sepak antara pelajar baru dan senior, pelajar senior tumbuk mangsa menyebabkan calar dan lebam
- Mangsa dibawa ke hospital, disahkan tiada kecederaan serius atau kekal
- Kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tiada pendakwaan dibuat selepas tindakan diambil oleh pihak sekolah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
