Hanya murid lepasi ujian diagnostik khas layak masuk Tahun 1 umur 6 tahun - Fadhlina

Fadhlina. Foto: Bernama
Fadhlina. Foto: Bernama
A
A
A

ALOR SETAR – [KEMAS KINI] Murid berusia enam tahun hanya layak memasuki Tahun 1 pada 2027 sekiranya berjaya melepasi ujian diagnostik khas yang bakal diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut selaras dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memberi fleksibiliti kepada ibu bapa dalam menentukan laluan pendidikan awal anak-anak.

Menurutnya, dasar baharu itu bukan satu paksaan, sebaliknya merupakan satu pilihan yang perlu disokong oleh sistem ujian diagnostik khas untuk menilai tahap psikoemosi, kemahiran serta kebersediaan murid sebelum melangkah ke Tahun 1.

“Kita tidak serahkan keputusan ini kepada ibu bapa semata-mata. Anak-anak mesti melalui ujian diagnostik terlebih dahulu. Dari situ, kita akan kenal pasti sama ada mereka benar-benar bersedia untuk mengikuti kurikulum baharu di Tahun 1,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah di sini pada Rabu.

Fadhlina menjelaskan bahawa ibu bapa perlu mendaftarkan anak mereka untuk mengikuti ujian diagnostik khas yang pelaksanaannya akan diumumkan kelak.

Dalam pada itu, beliau berkata, persediaan pelaksanaan dasar tersebut turut melibatkan aspek prasarana sekolah, penjadualan guru serta sokongan sistemik yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Menurutnya, KPM sedang mengenal pasti sekolah yang bersedia untuk melaksanakan dasar tersebut, termasuk pembinaan kelas baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mengatasi isu kepadatan.

“Kita sudah ada pengalaman membina lebih 100 sekolah menggunakan IBS untuk mengatasi masalah sekolah padat. Jadi, jika ada keperluan tambahan, kita bersedia melaksanakannya dalam tempoh singkat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai keperluan guru, Fadhlina menegaskan bahawa penjadualan dan penempatan akan disusun berdasarkan data yang diperoleh melalui ujian diagnostik khas tersebut.

Jelasnya, guru-guru juga akan diberi latihan untuk menguasai aspek tertentu dalam usaha menyokong murid yang akan memasuki Tahun 1.

“Guru kita sentiasa ada. Yang penting ialah bagaimana kita menyusun penempatan mereka untuk memenuhi keperluan murid enam tahun yang akan masuk Tahun 1,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!