Syarikat penerbangan mungkin terpaksa bergabung impak Covid -19

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekatan perjalanan dan penutupan sempadan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 telah memberi tekanan besar kepada pengendali penerbangan dengan sebahagiannya mengambil keputusan untuk 'berehat sementara' semasa tempoh sukar ini bagi mengurangkan kerugian.

Syarikat penerbangan bergelut untuk mengekalkan operasi mereka dan mengelakkan daripada jatuh bankrap kerana penurunan ketara permintaan perjalanan udara telah membawa kepada kapasiti tempat duduk, hasil dan pendapatan yang rendah.

Ahli ekonomi Dr Yeah Kim Leng berkata, beberapa syarikat penerbangan terutamanya entiti swasta, mungkin perlu menimbang melakukan penggabungan atau membentuk pakatan strategik seperti perjanjian perkongsian kod dengan syarikat penerbangan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bekas profesor ekonomi Fakulti Perniagaan Sunway University itu berkata, memandangkan pandemik tersebut tidak menunjukkan sebarang petanda akan surut, sukar bagi ekonomi dunia untuk kembali normal dalam masa setahun sebaik sahaja ia dapat dibendung.

“Pemulihan pantas dalam waktu singkat adalah mustahil kerana impak ekonomi yang teruk akibat daripada kawalan keluar dan masuk, larangan perjalanan dan larangan perhimpunan beramai-ramai. Dan perlu diingat bahawa tidak semua negara boleh pulih pada masa yang sama.

“Justeru, ekonomi global dijangka mengambil masa yang lama untuk kembali normal. Yang terbaik adalah pemulihan beransur-ansur 12 hingga 18 bulan,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata syarikat penerbangan, termasuk antara yang terkemuka dalam industri seperti Emirates dan Singapore Airlines berdepan cabaran terbesar bagi mereka disebabkan Covid-19.

Beliau juga berkata, industri penerbangan memerlukan pelan tindakan berasingan walaupun tiada sebarang pengumuman dari segi bantuan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas.

Artikel Berkaitan:

Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia menggantung sementara semua penerbangan antarabangsanya bagi operasi di Malaysia, Thailand dan Filipina berikutan pandemik itu.

AirAsia Malaysia juga menggantung sementara semua penerbangan antarabangsa dan domestiknya dari 28 Mac hingga 21 April, 2020.

Syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines juga mengurangkan keseluruhan rangkaiannya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan bagi tempoh dua minggu lagi sehingga 14 April.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), hasil tahunan penumpang dijangka susut sebanyak AS$252 bilion jika sekatan perjalanan kekal selama tiga bulan, iaitu penurunan 44 peratus berbanding 2019.

"Industri penerbangan sedang berdepan dengan krisis yang paling getir, tanpa langkah bantuan kerajaan, industri ini mungkin akan terus lenyap," kata persatuan itu dalam satu kenyataan, dengan menambah, syarikat penerbangan memerlukan bantuan dana mudah tunai sebanyak AS$200 bilion untuk tujuan kelangsungan perniagaan.

Dr Kim Leng berkata, ia akan menjadi sangat mencabar bagi mana-mana syarikat penerbangan untuk meneruskan perniagaan tanpa sokongan kewangan yang besar daripada kerajaan masing-masing bagi tujuan mengelakkan krisis kecairan, sama ada dalam syarikat mahupun industri.

“Secara idealnya, dari perspektif pasaran, kebankrapan hanya akan memberikan kesan paling minimum kepada wang pembayar cukai, dan jika mereka (syarikat penerbangan) tidak mendapat bantuan daripada kerajaan, mereka hanya perlu memfailkan kebankrapan.

"Ini bukan hanya bagi syarikat penerbangan Malaysia sahaja, tetapi merangkumi semua di rantau ini" katanya.

Di seluruh dunia, syarikat penerbangan tergesa-gesa berusaha mendapatkan pakej menyelamatkan perniagaan dan ada yang berjaya. Sesetengah kerajaan telah mengorak langkah membantu industri mengharungi Covid-19 dengan pakej bantuan berdasarkan pengecualian yuran termasuk caj dan pinjaman yang disokong oleh negara, antara lain.

Kerajaan New Zealand, misalnya, telah mengumumkan kemudahan pinjaman bernilai AS$580 juta untuk syarikat penerbangan nasionalnya termasuk tambahan pakej bantuan sebanyak NZ$600 juta bagi sektor penerbangan.

Australia telah memperkenalkan pakej bantuan A$715 juta (AS$430 juta), yang terdiri daripada bayaran balik dan pengecualian ke hadapan merangkumi cukai bahan api, navigasi udara domestik serta caj keselamatan penerbangan serantau.

Kerajaan Denmark dan Sweden telah mengumumkan jaminan pinjaman kepada syarikat penerbangan kebangsaan mereka, yang berjumlah 3.0 bilion crowns Sweden (AS$302 juta), manakala kerajaan Norway akan memberikan jaminan pinjaman bersyarat berjumlah NKr 6 bilion (AS$533 juta).

Brazil membenarkan syarikat penerbangannya menangguhkan pembayaran navigasi udara dan lapangan terbang, manakala Hong Kong menyediakan pakej bantuan bernilai HK$1.6 bilion untuk komuniti lapangan terbang.

Di peringkat serantau, Singapura telah menyediakan langkah bantuan sebanyak S$112 juta (AS$82 juta), termasuk rebat ke atas caj lapangan terbang, bantuan kepada ejen pengendalian darat dan rebat sewa di Lapangan Terbang Changi.

Syarikat penerbangan nasionalnya, Singapore Airlines baru-baru ini memperoleh tambahan bantuan berjumlah S$19 bilion (AS$13 bilion) daripada pelabur gergasi tempatan, Temasek Holdings dan bank terbesar di republik tersebut, DBS Group Holdings Ltd, untuk membantu syarikat itu mengharungi kesan pandemik tersebut dan berkembang selepas krisis itu berakhir.