Video rompakan Muzium Lourve disiar eksklusif di televisyen Perancis

Pihak pengurusan Muzium Louvre menegaskan bahawa kakitangan tidak dilatih untuk berhadapan dengan pencuri dan diminta mengutamakan pemindahan pelawat ke lokasi lain.
Pihak pengurusan Muzium Louvre menegaskan bahawa kakitangan tidak dilatih untuk berhadapan dengan pencuri dan diminta mengutamakan pemindahan pelawat ke lokasi lain.
A
A
A

PARIS - Rakaman rompakan di Muzium Louvre disiarkan buat kali pertama di televisyen Perancis, memaparkan pencuri barangan kemas bertindak berani memecah masuk ke dalam ruang pameran.

Memetik laporan AFP, visual yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu disiarkan secara eksklusif oleh saluran TF1 dan penyiar awam France Télévisions malam Ahad lalu, tiga bulan selepas insiden pecah masuk yang amat memalukan pada Oktober lepas.

Rakaman menunjukkan dua pencuri, seorang memakai topeng muka hitam (balaklava) dan jaket keselamatan berwarna kuning, manakala seorang lagi berpakaian hitam dengan topi keledar motosikal sedang memecah masuk ke Galeri Apollo.

Selepas memecah masuk melalui tingkap menggunakan objek tajam dipercayai pisau, mereka mula menggergaji kotak pameran meskipun terdapat beberapa staf di sekitar yang mengawasi galeri tersebut.

Pihak pengurusan Muzium Louvre menegaskan bahawa kakitangan tidak dilatih untuk berhadapan dengan pencuri dan diminta mengutamakan pemindahan pelawat ke lokasi lain.

Kegagalan kawalan keselamatan akibat insiden pecah masuk itu mendapat perhatian pengurusan institusi berkenaan serta pengarahnya, Laurence des Cars.

Kesatuan menggesa syarikat mengambil ramai lagi kakitangan dan melakukan penyelenggaraan yang lebih baik terhadap Muzium Lourve.

Pihak kesatuan turut melancarkan mogok selama beberapa hari sejak kes itu terjadi.

Satu lagi mogok pada Isnin lalu memaksa supaya penutupan penuh dibuat untuk kali ketiga sejak Disember, sekali lagi menyebabkan ribuan pelancong kecewa di luar Muzium Lourve.

Artikel Berkaitan:

Empat suspek kini dalam tahanan polis berhubung rompakan pada 19 Oktober tahun lepas, termasuk dua yang disyaki sebagai pencuri.

Bagaimanapun, lapan barangan kemas antaranya mahkota Perancis yang dicuri, dianggarkan bernilai AS$102 juta masih belum ditemui.

Sementara itu, rakaman CCTV tersebut bersama beberapa sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang ditemui di lokasi kejadian menjadi sebahagian penting dalam siasatan kes.

Butiran rakaman itu turut dilaporkan oleh akhbar-akhbar di Perancis, termasuk Le Parisien.

Palang besi telah dipasang pada tingkap Galeri Apollo sejak kejadian pecah masuk itu.

Ringkasan AI

  • Rakaman rompakan di Muzium Louvre disiarkan di televisyen Perancis
  • Dua pencuri memecah masuk Galeri Apollo menggunakan objek tajam
  • Kakitangan Muzium Louvre tidak dilatih menghadapi pencuri dan diminta mengutamakan keselamatan pelawat
  • Kegagalan kawalan keselamatan mendapat perhatian pengurusan Muzium Louvre
  • Empat suspek ditahan berhubung rompakan, lapan barangan kemas bernilai AS$102 juta masih belum ditemui

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!