120 anggota Daesh lolos dari penjara Syria - Kementerian Dalam Negeri Syria

KAHERAH – Kira-kira 120 anggota kumpulan militan Daesh dilaporkan melarikan diri dari Penjara Shaddadi, kata Kementerian Dalam Negeri Syria dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan portal berita Kurdi, Rudaw yang memetik jurucakap Pasukan Demokratik Syria (SDF) diketuai puak Kurdish, Farhad Shami memaklumkan bahawa kira-kira 1,500 anggota Daesh melarikan diri dari penjara tersebut.
Mengulas lanjut, Kementerian Dalam Negeri Syria memaklumkan, unit tentera dan pasukan khas Syria telah memasuki Penjara Shaddadi susulan insiden itu.
"Pasukan keselamatan berjaya menangkap semula 81 individu yang melarikan diri selepas operasi dilancarkan di bandar dan kawasan sekitar," menurut kenyataan itu.
Usaha pemburuan masih diteruskan bagi menahan baki tahanan yang masih bebas.
Terdahulu, tentera Syria memaklumkan bahawa 'sebilangan' anggota Daesh telah melarikan diri daripada penjara yang berada di bawah kawalan SDF di Shaddadi, malah mereka mendakwa SDF bertanggungjawab membebaskan tahanan-tahanan tersebut.
Selepas beberapa hari pertempuran antara pasukan pemerintah dan SDF, kumpulan tersebut dilaporkan bersetuju untuk berundur dari Raqqa dan Deir al-Zor pada 18 Januari lalu.
Kedua-dua wilayah majoriti Arab itu telah dikuasai oleh SDF selama bertahun-tahun dan merupakan antara kawasan utama pengeluaran minyak Syria.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa dijangka meneruskan pelaksanaan perjanjian yang dicapai dengan ketua SDF pada 18 Januari lalu, termasuk gencatan senjata selepas tentera kerajaan mara ke kawasan utara dan timur negara itu.
Pemimpin SDF, Mazloum Abdi berkata, pihaknya bersetuju dengan perjanjian tersebut bagi mengelakkan tercetusnya perang yang lebih luas.
Beliau turut dilaporkan bertemu dengan Presiden Sharaa pada 19 Januari di Damsyik.
Perjanjian itu dicapai selepas pertempuran maut berlaku di Raqqa pada 18 Januari antara pasukan pimpinan Kurdi dan pejuang tempatan yang setia kepada kerajaan Syria, susulan tindakan tentera kerajaan mengambil semula kawasan yang dikuasai SDF awal bulan ini.
Perjanjian tersebut juga menyaksikan pentadbiran dan pasukan keselamatan Kurdi akan diintegrasikan ke dalam sistem negeri selepas rundingan yang tertangguh selama berbulan-bulan.
Menurut sumber Kurdi yang enggan namanya disiarkan, perbincangan antara kedua-dua pihak meliputi pelbagai isu, termasuk cadangan penyepaduan SDF ke dalam tentera Syria bagi memperkukuh pertahanan negara demi melindungi semua rakyat.
Tambahnya lagi, turut dibincangkan ialah kemungkinan pindaan perlembagaan bagi memastikan perwakilan yang adil kepada semua komponen masyarakat Syria. - Agensi
Ringkasan AI
- Kira-kira 120 tahanan kumpulan militan Daesh melarikan diri dari Penjara Shaddadi di Syria
- Unit tentera dan pasukan khas Syria telah memasuki penjara tersebut susulan insiden itu
- Pasukan keselamatan berjaya menangkap semula 81 individu yang melarikan diri
- Usaha pemburuan baki tahanan yang masih bebas masih diteruskan
- Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, dijangka meneruskan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dengan ketua SDF selepas pertempuran di Raqqa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

