Keluarga Altantuya terima RM1.4 juta bukan RM5 juta

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Keluarga bekas model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu menerima RM1.4 juta dan bukannya RM5 juta yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam, tahun lalu.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah, pada Selasa, selepas membenarkan rayuan kerajaan dan Abdul Razak berhubung kuantum ganti rugi.
Mahkamah menetapkan bayaran itu meliputi ganti rugi teruk RM1 juta, tuntutan tanggungan RM384,000, perbelanjaan berkabung RM10,000 serta kos pengebumian RM15,000.
Ketika membaca keputusan sebulat suara, Hakim K Muniandy berkata, panel mendapati Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila menganugerahkan ganti rugi berjumlah RM5 juta.
Mahkamah memerintahkan jumlah pampasan itu ditanggung secara bersama oleh penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.
Menurutnya, Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil (CLA) 1956 hanya membenarkan pampasan bagi kerugian kewangan yang terbukti kepada tanggungan si mati, termasuk kehilangan sokongan dan perbelanjaan pengebumian.
Hakim itu berkata, panel turut mengesahkan keputusan mahkamah bawahan terhadap Abdul Razak berhubung konspirasi dan pembabitannya dalam kematian Altantuya.
“Semasa hujahan, Abdul Razak menyatakan tidak berniat menyebabkan kecederaan fizikal dan pembabitannya hanya terhad kepada usaha mendapatkan bantuan polis bagi menangani isu gangguan.
“Bagaimanapun mahkamah mendapati hujahan itu tidak berasas selepas meneliti rekod rayuan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran dua bekas anggota UTK di hotel mangsa dan tindakan mereka memintas Altantuya di rumah Abdul Razak sepenuhnya dipermudahkan oleh maklumat yang diberikan oleh defendan sendiri.
Muniandy berkata, mahkamah bersetuju dengan dapatan hakim perbicaraan bahawa dua bekas anggota UTK, Azilah dan Sirul tidak mempunyai motif untuk membunuh Altantuya sebaliknya bertindak atas permintaan Abdul Razak.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan secara liabiliti vikarius atau tanggungjawab majikan atas kesalahan pekerjanya.
Beliau berkata, ini kerana pembunuhan itu tidak dilakukan semasa Azilah dan Sirul yang juga pegawai polis, sedang bertugas.
“Mereka tidak bekerja ketika membawa si mati ke kawasan terpencil dan membunuhnya, malah penggunaan bahan letupan dan senjata api yang dikeluarkan oleh kerajaan tidak semestinya menjadi perbuatan jenayah.
“Sebaliknya, ia merupakan peralatan yang digunakan tanpa kebenaran, selain tiada bukti menunjukkan bahawa mereka bertindak atas arahan kerajaan,” katanya yang bersidang dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian bersama seorang lagi hakim, Datuk Azman Abdullah.
Kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd Noor Nik Kar manakala keluarga Altantuya diwakili peguam, Sangeet Kaur Deo. Abdul Razak pula diwakili Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au.
Pada 16 Disember 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membenarkan saman yang difailkan keluarga itu berhubung kematian Altantuya terhadap empat defendan termasuk kerajaan Malaysia.
Bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 yang mendakwa kematian wanita itu menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.
Mereka menamakan Azilah, Sirul, Abdul Razak dan kerajaan masing-masing defendan pertama hingga keempat.
Bagaimanapun nama Altanshagai Munkhtulga dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.
Altantuya yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah dalam proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS, kepada kerajaan Malaysia, dibunuh oleh dua bekas pengawal peribadi itu pada 18 Oktober 2006.
Berikutan itu, Sirul dan Azilah ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh Altantuya pada November 2006.
Pada 12 Februari 2025, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, M Sumathi memerintahkan kerajaan dan Abdul Razak membayar RM9.4 juta kepada keluarga mendiang Altantuya.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan kedua-dua pihak itu membayar 50 peratus daripada jumlah berkenaan terlebih dahulu.
Berdasarkan penghakiman, Sumathi membenarkan penangguhan bersyarat terhadap kerajaan dan Abdul Razak selaku defendan ketiga dan keempat, sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan RM9,404,109.60.
Katanya, bagi memastikan keadilan, mahkamah membenarkan penangguhan bersyarat, yang mana defendan ketiga perlu mendepositkan sejumlah RM4,702,054.80 iaitu 50 peratus daripada jumlah penghakiman termasuk faedah.
Altantuya, 28, ditemui dalam keadaan ngeri dengan cebisan daging daripada anggota badannya bertebaran di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor berhampiran Empangan Tasik Subang.
Mangsa dipercayai diletupkan antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Pada 31 Oktober 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.
Pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan Azilah selepas didapati bersalah membunuh wanita itu.
Ringkasan AI
- Tiga pihak perlu membayar RM1.4 juta kepada keluarga Altantuya Shaariibuu, berkurangan daripada RM5 juta yang asal
- Keputusan pembayaran ganti rugi ini ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah asal RM5 juta
- Kes ini melibatkan kematian Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 yang dikatakan membawa trauma mental dan psikologi kepada keluarganya
- Altantuya dilaporkan berperanan sebagai penterjemah dalam proses rundingan penjualan kapal selam dan dibunuh oleh dua pengawal peribadi
- Dua bekas anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, didakwa membunuh Altantuya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

