Jakarta semakin tenggelam

JAKARTA – Mendapan tanah semakin mengancam ibu kota Indonesia yang bakal menyaksikan sebahagian bandar tersebut tenggelam, sekali gus mengakibatkan kerugian besar kepada ekonomi jika langkah mitigasi segera gagal dilaksanakan.
Penilaian terbaharu Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN) menganggarkan tanah Jakarta mendap pada kadar purata 3.5 sentimeter (cm) setahun.
Kadarnya bagaimanapun berbeza-beza di seluruh ibu kota tersebut dan kawasan paling teruk adalah di utara Jakarta.
Sejak lebih empat dekad lalu, kawasan tersebut tenggelam sehingga empat meter iaitu kira-kira 40 peratus daripadanya kini berada di bawah paras laut.
"Jakarta mengalami masalah penurunan tanah yang serius. Bahagian utara menjadi seperti 'mangkuk' dan titik panas berlaku banjir kerana terdedah kepada limpahan air sungai dan laut serta hujan lebat berterusan," ujar penyelidik kanan di BRIN, Yus Budiyono.
Kedudukan bandar itu di kawasan delta tanah rendah yang menjadi tempat pertemuan sungai-sungai dari tanah tinggi di selatan sebelum mengalir ke Teluk Jakarta meningkatkan risiko dilanda banjir.
Selain itu, pembangunan tidak terkawal dan pengekstrakan air bawah tanah turut memburukkan lagi masalah tersebut.
Yus menganggarkan Jakarta berdepan kerugian sebanyak AS$186 juta (RM753 juta) setahun kerana ancaman banjir dan angka itu dijangka meningkat kepada AS$421 juta (RM1.7 bilion) menjelang 2030 jika mendapan tanah berterusan.

Sejak 2014, pentadbiran ibu kota dan kerajaan pusat telah membangunkan penghadang konkrit sebagai sebahagian daripada projek Pembangunan Pantai Bersepadu Ibu Kota Negara (NCICD) sepanjang 46 kilometer yang bertujuan untuk melindungi bandar daripada banjir pantai.
Presiden Prabowo Subianto juga mengumumkan rancangan pembinaan tembok gergasi bernilai berbilion dolar, sebuah struktur mega di sepanjang pantai utara Pulau Jawa yang direka untuk melindungi komuniti terdedah banjir dari Banten hingga ke Jawa Timur.
Yus menjelaskan tembok laut sedia ada di Jakarta hanya menghalang limpahan air laut kerana langkah berbentuk struktur semata-mata gagal menangani punca utama penurunan tanah iaitu pengambilan air bawah tanah secara berlebihan.
Difahamkan, kebanyakan komuniti di sekitar ibu kota masih bergantung kepada air dipam dari bawah tanah untuk kegunaan domestik kerana pengendali utama bekalan itu, PAM Jaya masih belum dapat menampung keperluan penduduk.
Air bawah tanah juga diekstrak secara meluas untuk tujuan perindustrian sebelum aktiviti tersebut diharamkan oleh pemerintah.

"Akses kepada bekalan air bersih perlu disediakan secara menyeluruh," kata Yus sambil memberi amaran tembok gergasi tidak akan dapat memberi perlindungan tanpa pelaksaaan langkah yang efektif untuk membendung mendapan tanah.
Felo penyelidik di Institut Kajian Asia di National University of Singapore (NUS), Dr Bosman Batubara juga percaya masalah itu berpunca daripada pembangunan bandar yang pesat, namun tidak sekata.
"Pemerintah masih gagal menangani dua punca utama itu termasuk pengekstrakan air bawah tanah. Mereka lebih memfokuskan pembinaan tembok konkrit yang hanya menyelesaikan masalah permukaan," jelasnya.
Pada 2021, bekas Gabenor Anies Baswedan pernah mengeluarkan larangan pengekstrakan air bawah tanah di sembilan kawasan perindustrian dan 12 jalan seluruh Jakarta sebagai usaha menangani masalah mendapan tanah yang semakin teruk.
Pentadbiran sekarang pimpinan Gabenor Pramono Anung juga merancang untuk mengikut jejak langkah serupa untuk mengetatkan lagi peraturan tersebut. - Agensi
Ringkasan AI
- Jakarta menghadapi ancaman serius mendapan tanah dengan kadar purata 3.5cm setahun
- Kawasan utara Jakarta paling teruk terjejas, tenggelam hingga empat meter sejak empat dekad lalu
- Banjir di Jakarta diperparah oleh kedudukan bandar di delta tanah rendah dan pembangunan tidak terkawal
- Kerugian ekonomi akibat banjir di Jakarta dianggarkan sebanyak AS$186 juta setahun, diperkirakan meningkat menjadi AS$421 juta menjelang 2030
- Projek pembangunan tembok gergasi di pantai utara Pulau Jawa diumumkan untuk melindungi dari banjir, namun pengekstrakan air bawah tanah berlebihan tetap menjadi punca utama mendapan tanah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

