Kontroversi ladang babi

RANCANGAN Kerajaan Selangor menjadikan Bukit Tagar sebagai ladang babi menimbulkan kontroversi.
Masalah pencemaran oleh haiwan ternakan lain juga menimbulkan banyak aduan orang ramai, namun penternakan babi lebih panas kerana ia sensitif dalam kalangan umat Islam.
Sebelum ini penternakan babi dibuat di kawasan yang majoritinya terdapat penduduk Cina seperti di Tanjong Sepat, Kuala Langat.
Ia sudah wujud sejak 30 tahun lalu dan sering mendapat aduan daripada rakyat kerana pencemaran yang berpunca daripada kaedah penternakan konvensional.
Masalah paling besar ialah najis haiwan tersebut dilepaskan ke dalam sistem perparitan dan akhirnya mengalir ke laut.
Kemuncak kepada masalah tersebut ialah penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) dan dilaporkan pada Mac tahun lalu kira-kira 76,000 ekor babi yang dijangkiti di 57 ladang di sekitar Kuala Langat dan Sepang telah dilupuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor.
Ini yang menyebabkan Kerajaan Selangor mencari penyelesaian secara total masalah tersebut.
Cadangannya adalah mewujudkan satu ladang penternakan babi moden di Bukit Tagar yang merupakan kawasan tapak pelupusan sampah.
Menurut kenyataan yang dibuat Kerajaan Selangor ladang moden itu dijamin tidak akan menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar dan terletak jauh dari kawasan penduduk.
Mungkin Kerajaan Selangor perlu berusaha keras menjelaskan lebih mendalam tentang projek itu.
Walaupun berhadapan dengan kesukaran namun ia perlu dilakukan kerana tiada jalan untuk berpatah balik ekoran titah Sultan Selangor yang tidak mahu penternakan babi di Tanjong Sepat lagi.
Cabaran terbesar kerajaan negeri kini ialah meyakinkan rakyat tentang rancangan mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut dan menangkis naratif-naratif buruk yang dimainkan pihak tertentu.
Antara perkara yang sering menjadi kegusaran orang ramai ialah tentang penguatkuasaan undang-undang selepas ladang itu diwujudkan.
Jadi kerajaan negeri perlu meyakinkan rakyat dan memberikan komitmen tegas melalui pemantauan berkala oleh jabatan berkaitan.
Untuk itu, laporan pemantauan yang boleh diakses awam akan meningkatkan keyakinan bahawa projek ini dikawal dan bukan dibiarkan tanpa pengawasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
