Jalan utama hubungkan Jelebu-Hulu Langat ditutup susulan PKPD

Nurul Huda (tengah) berbincang dengan Ketua Polis Daerah Jelebu DSP Kamarul Rizal Jenal (kiri) mengenai penutupan jalan utama yang menghubungkan Negeri Sembilan dan Selangor ketika tinjauan Bernama di kawasan tersebut hari ini. - Foto Bernama
Nurul Huda (tengah) berbincang dengan Ketua Polis Daerah Jelebu DSP Kamarul Rizal Jenal (kiri) mengenai penutupan jalan utama yang menghubungkan Negeri Sembilan dan Selangor ketika tinjauan Bernama di kawasan tersebut hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JELEBU - Jalan utama menghubungkan daerah Jelebu dengan Hulu Langat, Selangor ditutup hari ini sebagai langkah mengekang penyebaran koronavirus (Covid-19) di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Nurul Huda Musa berkata, penutupan itu juga selari dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diumumkan kerajaan semalam bagi kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.

Arahan PKPD dikeluarkan bagi kawasan itu apabila 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di kawasan tersebut.

"Jalan Genting Peres ke Hulu Langat ini laluan utama dari kawasan itu ke Jelebu. Pada mesyuarat Jawatankuasa Bencana pagi tadi dan cadangan daripada Ketua Polis Daerah Jelebu, kita ambil langkah berjaga-jaga untuk mengekang kemasukan orang luar daerah ke Jelebu bagi elak penularan Covid-19 ke daerah ini.

"Jalan yang ditutup ini berada kira-kira 25 kilometer dari Hulu Langat," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang berkuat kuasa hari ini sehingga 13 April itu, melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan orang asli dan lima perkampungan Melayu.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan 10 lagi kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 172 kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: