Pas bayang sedia sertai 'kolaborasi agung' bersyarat

Tan Sri Abdul Hadi Awang
Tan Sri Abdul Hadi Awang
A
A
A

 

SHAH ALAM – Pas memberi bayangan bersedia menyertai sebarang bentuk kolaborasi atau kerjasama politik berskala besar sekiranya ia berpayungkan kerajaan yang menunaikan kewajipan memimpin mengikut ketetapan ALLAH serta berpaksikan prinsip Islam yang jelas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menegaskan konsep perpaduan yang diperjuangkan parti itu bukan berasaskan ikatan ciptaan manusia, sebaliknya berpandukan “tali ALLAH” yang terbukti menyatukan umat secara holistik seperti ditetapkan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Menurut beliau, Islam hanya mengiktiraf dua bentuk pendekatan perpaduan, iaitu perpaduan yang diwajibkan dan perpaduan yang diharamkan. Perpaduan yang diwajibkan ialah tolong-menolong dalam kebajikan dan ketakwaan, manakala perpaduan berasaskan dosa serta pelanggaran sempadan ALLAH adalah dilarang.

“Berpeganglah kamu semuanya kepada tali ALLAH dan janganlah kamu berpecah-belah. Tali ALLAH ialah Islam yang mengikat manusia melalui fitrah dan iman, bukan melalui paksaan atau kepentingan sementara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Abdul Hadi berkata, sejarah membuktikan Islam berjaya menyatukan masyarakat Arab yang berpecah-belah dan bermusuhan melalui ikatan iman, sebelum diperluaskan kepada masyarakat majmuk menerusi prinsip keadilan serta perjanjian seperti Sahifah Madinah.

Beliau menegaskan, Pas tidak dapat menerima konsep perpaduan yang membisu terhadap kezaliman dan kemungkaran, serta tidak berpaksikan sempadan halal dan haram yang ditetapkan ALLAH.

Sehubungan itu, katanya, alasan Pas tidak bersama Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah kerana konsep yang dibawa dianggap bebas tanpa sempadan ketetapan Ilahi, termasuk melibatkan fahaman pluralisme dan liberalisme yang bercanggah dengan prinsip Islam.

Menurutnya, perpaduan tanpa prinsip ibarat sebuah bahtera yang bocor, di mana pertelingkahan dalaman dan hala tuju berbeza akhirnya membawa kepada kehancuran bersama.

Artikel Berkaitan:

“Perpaduan yang sebenar ialah perpaduan berprinsip, dikawal oleh kebenaran dan keadilan, bukan meraikan semua tuntutan atas nama tidak mahu berpecah,” ujarnya.

Abdul Hadi berkata, Pas mencontohi pendekatan Rasulullah SAW yang menolak kepimpinan tanpa sempadan antara benar dan salah, sebaliknya memilih perpaduan berteraskan prinsip walaupun berdepan perbezaan dan cabaran.

Beliau turut menegaskan keperluan kepimpinan berasaskan ilmu dan kefahaman mendalam terhadap Islam, bukan ditentukan oleh kepentingan harta dan takhta.

“Pas mahukan perpaduan di bawah kerajaan yang memimpin sebagai amanah ALLAH, ditaati kerana keadilannya, bukan dihormati kerana takut akan kezalimannya,” tambahnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Pas bersedia untuk kolaborasi politik jika berlandaskan prinsip Islam
  • Perpaduan yang dijuarai Pas adalah berpandukan al-Quran dan sunnah
  • Islam hanya mengiktiraf perpaduan berlandaskan kebajikan dan melarang perpaduan berasaskan dosa
  • Konsep perpaduan yang diterima Pas tidak boleh membisu terhadap kezaliman dan harus berpaksikan sempadan halal dan haram
  • Pas menolak konsep Kerajaan Perpaduan kerana dianggap bebas tanpa sempadan ketetapan Ilahi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!