Pinda perlembagaan terima semua Friends Of BN - Puad Zarkashi

MOHD PUAD ZARKASHI
MOHD PUAD ZARKASHI
A
A
A

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) perlu membuat pindaan terhadap perlembagaannya bagi mempercepatkan penyertaan parti baharu serta mengukuhkan kesepakatan dalam gabungan itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, langkah ini penting bagi memudahkan parti-parti baharu dan mesra BN menyertai gabungan itu kelak.

“Diharap BN segera buat mesyuarat dan putuskan agar semua parti Friends Of BN yang sudah lama menunggu diterima masuk tanpa syarat.

“Selepas itu pinda perlembagaaan BN iaitu ahli baharu diterima masuk tanpa perlu keputusan konsensus tetapi ditukar kepada keputusan majoriti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata demikian mengulas cadangan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan supaya parti-parti yang ‘Mesra BN’ diterima sebagai ahli penuh gabungan tersebut.

Beliau menegaskan, pembukaan pintu oleh BN tidak seharusnya hanya terhad kepada PPP tetapi merangkumi semua parti mesra BN atau Friends of BN.

Antara parti yang dicadangkan termasuk Makkal Sakti, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) yang boleh diterima sebagai ahli gabungan penuh komponen BN.

Pada Ahad, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan PPP diterima kembali sebagai parti komponen BN ketika merasmikan Perhimpunan Agung PPP Ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional perlu meminda perlembagaan untuk mempercepat penyertaan parti baharu
  • Langkah ini untuk memudahkan penyertaan parti-parti baharu dan mesra BN
  • Pindaan perlembagaan melibatkan penerimaan ahli baru berdasarkan keputusan majoriti
  • Pembukaan pintu BN merangkumi semua parti mesra BN atau Friends of BN
  • Antara parti dicadangkan termasuk Makkal Sakti, IPF, Kimma dan MUIP sebagai ahli penuh komponen BN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!