Isu kepengerusian PN mesti selesai secara hikmah, kolektif - Armada Bersatu
SHAH ALAM - Isu kepengerusian Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan politik mesti diselesaikan dengan penuh hikmah, bijaksana dan secara kolektif oleh kepimpinan parti, kata Biro Politik Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Penolong Setiausaha Armada Bersatu, Mohd Fahim Mohd Farid berkata, pihaknya berpendirian bahawa jawatan Pengerusi PN mesti disandang oleh mana-mana Presiden parti gabungan yang mempunyai kuasa dan autoriti.
Menurut beliau, perihal tersebut penting bagi memastikan keabsahan dan kelancaran pentadbiran PN.
"Biro Politik Armada Bersatu yang bersidang hari ini, jam 8 malam membincangkan isu-isu politik semasa dan mengambil ketetapan.
"Antaranya menjunjung titah pedoman Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk PN meneruskan kelangsungan pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis yang mengutamakan kepentingan rakyat, pembangunan dan kesejahteraan negeri," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa supaya Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN diadakan dengan kadar segera bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(i)(b) Perlembagaan gabungan berkenaan.
Abdul Hadi berkata, keperluan itu merujuk kepada proses penerimaan dan pengesahan peletakan jawatan Pengerusi PN serta pelantikan calon baharu bagi jawatan tersebut.
Jelasnya lagi, diharapkan perkara itu dapat diambil perhatian dan diberi tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah melebihi 10 hari.
Sementara itu, Mohd Fahim memaklumkan, sidang Biro Politik Armada Bersatu turut menyentuh keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pihaknya mengecam keras keputusan tersebut yang mengklasifikasikan kes kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi sebagai tiada tindakan lanjut atau 'no further action' (NFA).
Beliau berpendapat bahawa keputusan sedemikian telah mencemarkan imej institusi AGC di mata dunia.
"Kes yang sudah mencapai 'prima facie' sebelum pilihan raya pada 2022 telah diberi pembebasan tanpa membebaskan (DNAA) pada 4 September 2023. Tambahan lagi yang terkini pada 8 Januari lepas, kes ini diberi status NFA.
"Berdasarkan fakta tersebut, sukar untuk rakyat Malaysia berpendapat bahawa institusi berkenaan menjalankan amanah dengan adil, telus dan saksama.
"Armada Bersatu ingin menegaskan, tanggungjawab institusi adalah mempertahankan kepentingan rakyat Malaysia, bukannya melindung golongan berkuasa," ujar beliau.
Ringkasan AI
- Isu kepengerusian Perikatan Nasional perlu diselesaikan dengan hikmah dan secara kolektif
- Jawatan Pengerusi PN patut disandang oleh Presiden parti gabungan dengan kuasa dan autoriti
- Keperluan penerimaan dan pengesahan peletakan jawatan serta pelantikan calon baharu bagi jawatan Pengerusi PN
- Biro Politik Armada Bersatu mengkritik keputusan AGC yang mengklasifikasikan kes kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram sebagai tiada tindakan lanjut
- Keputusan AGC tersebut mencemarkan imej institusi dan menimbulkan skeptisisme terhadap keadilan, ketelusan dan amanah institusi berkenaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

