Bekas jurutera tukar pengakuan kes cuba guna duit palsu beli barang kemas

Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Isnin.
Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas jurutera menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan meminta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dakwaan cuba menggunakan wang palsu bagi mendapatkan barang kemas di sebuah kedai emas pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Faisal Mohd Shahrani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Sebelum ini, tertuduh direkodkan membuat pengakuan bersalah ketika dihadapkan di mahkamah sama pada 5 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba menggunakan 359 keping wang kertas RM50 palsu sebagai wang tulen di Kedai Emas Lelong Maya, Cabang Tiga, di sini, kira-kira jam 3.10 petang pada 18 Disember tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda, manakala Seksyen 511 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu setengah daripada tempoh maksimum kesalahan asal.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 22 Februari depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hisham Hashim.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang bekas jurutera di Kuala Terengganu mengubah pengakuan kepada tidak bersalah dalam kes cuba guna wang palsu untuk membeli barang kemas
  • Tertuduh, Ahmad Faisal Mohd Shahrani, membuat pertukaran pengakuan setelah awalnya mengaku bersalah
  • Dituduh menggunakan 359 keping wang kertas RM50 palsu di sebuah kedai emas pada Disember tahun lalu
  • Boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan
  • Tertuduh diikat jamin RM10,000 dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Februari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!