Pesawat ATR 42-500 pernah alami masalah teknikal

Pesawat ATR-42-500 milik Indonesia Air Transport saat mendarat di Lapangan Bandar Udara Rembele pada 5 Disember 2025 lalu.
Foto: Agensi
Pesawat ATR-42-500 milik Indonesia Air Transport saat mendarat di Lapangan Bandar Udara Rembele pada 5 Disember 2025 lalu. Foto: Agensi
A
A
A

MAKASSAR – Pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport dilaporkan pernah mengalami isu teknikal sehari sebelum nahas di kawasan Gunung Bulusaraung, Kabupaten Pangkep, Sulawesi Selatan.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Operasi Indonesia Air Transport, Kapten Edwin, yang memaklumkan bahawa masalah teknikal berkenaan dikenal pasti pada Jumaat, 16 Januari, iaitu sehari sebelum pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Adisutjipto, Yogyakarta menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Makassar.

Menurut beliau, isu tersebut melibatkan aspek kejuruteraan dan mesin pesawat, namun telah ditangani sepenuhnya oleh pihak teknikal syarikat sebelum penerbangan diteruskan.

“Memang terdapat isu teknikal pada pesawat, tetapi ia telah dibaiki dan melalui ujian penerbangan.

"Hasil pemeriksaan menunjukkan pesawat berada dalam keadaan normal,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, pada Ahad.

Kapten Edwin menjelaskan, ujian penerbangan turut dilakukan selepas kerja pembaikan, termasuk penerbangan dari Halim ke Semarang dan Yogyakarta, yang tidak menunjukkan sebarang masalah.

Pesawat ATR 42-500 berkenaan dilaporkan hilang hubungan komunikasi dengan pihak kawalan trafik udara (ATC) ketika hendak mendarat di Makassar pada Sabtu, 17 Januari.

Berdasarkan maklumat Direktorat Jenderal Perhubungan Udara Indonesia, pada jam 04.23 UTC, ATC Makassar mengarahkan pesawat berkenaan untuk melakukan pendaratan di landasan 21.

Namun, pesawat didapati tidak berada pada laluan pendaratan yang sepatutnya.

Artikel Berkaitan:

ATC kemudiannya memberikan beberapa arahan pembetulan posisi bagi membawa pesawat kembali ke laluan yang betul.

Walau bagaimanapun, selepas arahan terakhir diberikan, komunikasi dengan pesawat terputus.

Susulan itu, ATC mengisytiharkan fasa kecemasan DETRESFA (Distress Phase) mengikut prosedur operasi standard penerbangan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya menemukan serpihan pesawat di bahagian utara Puncak Gunung Bulusaraung, melibatkan kawasan persempadanan Kabupaten Maros dan Pangkep.

Antara serpihan yang ditemui termasuk bahagian badan, tingkap dan ekor pesawat.

Pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) memaklumkan bahawa penemuan tersebut menjadi petunjuk penting dalam skop kawasan pencarian, namun akses ke lokasi nahas adalah sukar berikutan keadaan muka bumi yang curam.

Sementara itu, Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengangkutan (KNKT) menegaskan bahawa punca sebenar nahas masih dalam siasatan, dan sebarang kesimpulan awal mengenai kaitan isu teknikal dengan kejadian tersebut adalah terlalu awal untuk dibuat.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!