Lima rumah kedai musnah terbakar

GEORGE TOWN – Sebanyak lima unit rumah kedai dua tingkat musnah dalam satu kebakaran di Lebuh Presgrave di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas kesemua penghuni terselamat apabila berjaya keluar dari premis masing-masing sebelum ketibaan pasukan bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.44 malam itu, kebakaran melibatkan deretan tujuh unit rumah kedai dengan lima daripadanya terbakar dalam pelbagai tahap kemusnahan.
Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai tiba di lokasi pada jam 9.51 malam selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
"Kebakaran melibatkan lima unit rumah kedai dua tingkat jenis kekal kelas A berkeluasan kira-kira 30 x 70 kaki persegi setiap satu.
“Premis yang terlibat ialah Lot 101, 103, 105, 107 dan 109, dengan empat daripadanya dijadikan rumah kediaman manakala satu unit digunakan sebagai stor simpanan perkakasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, anggaran kemusnahan tertinggi direkodkan di Lot 101 iaitu kira-kira 80 peratus, diikuti Lot 103 dan Lot 105 masing-masing 30 peratus, manakala Lot 107 dan Lot 109 kira-kira 10 peratus.
"Seramai 11 penghuni membabitkan empat unit kediaman berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO). Tiada mangsa yang cedera atau terperangkap.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.08 malam dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.11 malam sebelum kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada punca bahaya lain,” katanya.
Tambah beliau, pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan seekor kucing milik penghuni yang terperangkap di dalam salah sebuah premis terbakar.
"Operasi melibatkan seramai 28 anggota bomba bersama lima jentera itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.53 pagi dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk siasatan lanjut.
"Operasi pemadaman turut dibantu oleh BBP Jalan Perak dan BBP Bagan Jermal serta beberapa pasukan bomba sukarela berdekatan," katanya.
Ringkasan AI
- Lima unit rumah kedai dua tingkat di Lebuh Presgrave, George Town musnah dalam kebakaran
- Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, semua penghuni berjaya keluar sebelum ketibaan bomba
- Kebakaran melibatkan deretan tujuh unit rumah kedai, lima daripadanya terbakar
- Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran dalam masa kurang dari dua jam
- Seorang kucing milik penghuni berjaya diselamatkan dalam operasi pemadaman kebakaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

