Kilang sawit hampir musnah terbakar

KUANTAN – Tindakan pantas pihak bomba mengawal kebakaran silo di bahagian pemprosesan sebuah kilang sawit di Bukit Sagu di sini berjaya menyelamatkan kilang itu daripada musnah terbakar pada Sabtu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kebakaran yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.50 petang itu melibatkan sebuah silo berkeluasan 40 x 70 kaki persegi.
Menurutnya, anggaran kemusnahan adalah sekitar 30 peratus, namun kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 6.50 petang sebelum 16 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan Kuantan digerakkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.

“Anggota tiba di lokasi yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai pada jam 7.23 petang dan segera melaksanakan operasi mengawal serta memadam kebakaran tersebut, dibantu 10 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) kilang terbabit,” katanya.
Zulfadli berkata, kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan aliran hos salur bantu air daripada tangki pam jentera bomba.
Katanya, selepas kebakaran berjaya dikawal, pihaknya turut melaksanakan kerja-kerja penyejukan bagi memastikan tiada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
“Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Tindakan pantas bomba menyelamatkan kilang sawit di Bukit Sagu, Kuantan daripada musnah terbakar
- Kebakaran silo melibatkan luas 40 x 70 kaki persegi dan menyebabkan kemusnahan anggaran 30 peratus
- Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian ini
- Sebanyak 16 anggota bomba bersama 10 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan kilang terbabit terlibat dalam operasi pemadaman
- Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

