Majikan, pemilik premis digesa perkukuh pematuhan undang-undang gas, bahan kimia

SHAH ALAM – Majikan dan pemilik premis yang terlibat dalam aktiviti penggunaan gas serta bahan kimia digesa memperkukuh pematuhan undang-undang bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.
Pengarah Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Ayop Salleh berkata, ia termasuk kewajipan menyediakan tempat kerja yang selamat, latihan bersesuaian dan sistem kerja yang mengurangkan risiko ketika menguruskan bahan tersebut.
Justeru, beliau berkata, NIOSH sedia membantu memperkukuh langkah pencegahan bagi menangani insiden kebocoran dan letupan gas termasuk memberikan khidmat nasihat, latihan pengurusan bahan kimia serta pematuhan amalan terbaik keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
“Selain itu, ia turut melibatkan semakan prosedur operasi selamat (SOP) dan program peningkatan kompetensi pekerja yang terlibat dengan bahan kimia serta gas berbahaya.
“Tumpuan utama ialah memastikan risiko dapat dikenal pasti lebih awal, dikawal secara berkesan dan semua pihak tahu apa yang perlu dilakukan ketika kecemasan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, seorang lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala sembilan yang lain cedera dalam kejadian letupan gas pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara di sini pada Isnin.
Insiden lain turut melaporkan tiga individu mengalami sesak nafas apabila silinder gas amonia yang dibawa sebuah lori bocor di susur keluar Plaza Tol Seremban pada Khamis.
Dalam pada itu Ayop berkata, kejadian tersebut membuktikan keperluan kawalan risiko yang ketat terhadap pengendalian bahan kimia dan gas bertekanan, sama ada semasa pengangkutan, penyimpanan, kerja penyelenggaraan atau operasi harian di premis serta fasiliti awam.
Menurut beliau, pihaknya turut menyediakan khidmat nasihat pakar percuma dan pelbagai latihan serta khidmat makmal berkaitan seperti penilaian risiko kesihatan kimia iaitu Chemical Health Risk Assessment (CHRA).
“Ia bagi memastikan pengurusan dan kawalan pendedahan bahan berbahaya tersebut dapat dilaksanakan secara tersusun mengikut panduan pihak berkuasa.
“NIOSH turut menggalakkan majikan untuk menyemak semula pelan kecemasan, latihan berkala, komunikasi risiko kepada pekerja dan kontraktor serta mekanisme pelaporan segera supaya tindakan kawalan boleh dilaksanakan sebelum insiden menjadi lebih buruk,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Majikan dan pemilik premis digesa mematuhi undang-undang untuk mengelak insiden bahaya penggunaan gas dan bahan kimia
- NIOSH sedia membantu dengan khidmat nasihat dan latihan pengurusan bahan kimia serta pematuhan keselamatan
- Penekanan pada pencegahan insiden melalui semakan SOP dan program peningkatan kompetensi pekerja
- Kes letupan gas dan kebocoran silinder gas amonia baru-baru ini menunjukkan keperluan untuk kawalan risiko yang ketat
- NIOSH menyediakan khidmat nasihat percuma dan latihan berkaitan dengan penilaian risiko kesihatan kimia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

