PM pesan ahli Parlimen kerajaan bahas dengan baik - Fahmi

Anwar keluar dari perkarangan Kompleks Seri Perdana selepas menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan pada Ahad. Foto Bernama
Anwar keluar dari perkarangan Kompleks Seri Perdana selepas menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berbahas dengan konstruktif pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang bermula Isnin.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu disampaikan Perdana Menteri semasa sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama dengan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Ahad.

"Perdana Menteri sampaikan pesanan untuk kita memberikan fokus kepada tugas.

"Secara umum, beliau mengingatkan kita sebagai ahli Parlimen, kita ada tanggungjawab bukan hanya untuk hadir, tetapi untuk berbahas dengan baik dalam sidang," kata Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, ketika dihubungi pemberita pada Ahad.

Fahmi berkata, sesi taklimat yang berlangsung selama kira-kira dua jam bermula dari jam 2.30 petang tadi juga merupakan platform bagi Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara Kerajaan Perpaduan mengeratkan silaturahim sebelum mesyuarat Parlimen bermula.

Beliau turut mengesahkan bahawa empat rang undang-undang (RUU) menjadi keutamaan kerajaan untuk dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

RUU itu berkaitan dengan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh, RUU tentang pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara, RUU Ombudsman 2025 dan RUU berkaitan Akta Kebebasan Maklumat.

Terdahulu, Perdana Menteri meninggalkan Kompleks Seri Perdana pada jam 4.20 petang selepas mempengerusikan taklimat berkenaan dan sempat menyapa pengamal media yang berkampung di sini bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan bermula Isnin dengan titah Yang di-Pertuan, Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama 20 hari itu turut menyaksikan ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul selama tujuh hari mulai 20 Januari.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada minggu ketiga persidangan bermula pada 4 hingga 10 Februari sebelum pembentangan RUU dan urusan kerajaan yang lain bermula pada 11 Februari hingga 3 Mac. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan tentang tanggungjawab berbahas konstruktif
  • Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan pesan Perdana Menteri dalam sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat
  • Sesi tersebut juga bertujuan mengeratkan silaturahim antara Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara Kerajaan Perpaduan
  • Empat rang undang-undang menjadi keutamaan kerajaan untuk dibentangkan
  • Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bermula dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!