Letupan di Universiti HELP: Polis siasat pelbagai sudut termasuk kecuaian

KUALA LUMPUR - Polis menjalankan siasatan menyeluruh termasuk meneliti kemungkinan unsur kecuaian dalam insiden letupan gas penyaman udara di kampus Universiti HELP, Bukit Damansara di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, walaupun setakat ini tiada bukti awal menunjukkan wujudnya kecuaian, aspek tersebut kekal sebagai antara fokus utama siasatan.
"Biasanya dalam kes melibatkan bencana atau kejadian seperti ini, siasatan akan melibatkan semua pihak berkaitan dan meneliti semua aspek termasuk kemungkinan kecuaian.
"Jika terdapat kecuaian yang menyebabkan kecederaan atau kemalangan, ada kesalahan boleh disiasat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini pada Jumaat.
Fadil berkata, jika elemen kecuaian dikenal pasti, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, setakat ini siasatan masih pada peringkat awal dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Selain itu, Fadil berkata bangunan terlibat telah diserahkan kepada pemilik manakala tiga mangsa yang cedera masih menerima rawatan di hospital manakala seorang lagi telah dibenarkan pulang.
Pada 11.40 pagi Isnin lepas, seorang lelaki maut manakala sembilan lagi cedera dalam letupan itu.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, penuntut tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). - Bernama
Ringkasan AI
- Polis menjalankan siasatan menyeluruh termasuk meneliti kemungkinan unsur kecuaian dalam insiden letupan gas penyaman udara di kampus Universiti HELP, Bukit Damansara
- Ketua Polis Kuala Lumpur berpendapat aspek kecuaian kekal fokus utama walaupun tiada bukti awal menunjukkan kecuaian
- Siasatan akan melibatkan semua pihak berkaitan dan meneliti semua aspek termasuk kemungkinan kecuaian
- Jika kecuaian dikenal pasti, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang
- Seorang lelaki maut dan sembilan lagi cedera dalam letupan itu, mangsa maut dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, penuntut tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
