Tindakan pantas bomba selamat nyawa pemandu tersepit nyaris lemas

NIBONG TEBAL - Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki yang tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Ladang Victoria di sini pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.07 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati kereta jenis Toyota Vellfire tenggelam dalam parit berkedalaman satu meter manakala seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu.
"Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan I Ahmad Zaki Sabri bersama enam anggota hanya mengambil masa tidak sampai 10 minit untuk mengeluarkan lelaki berusia lingkungan 40-an yang tersepit.

"Mangsa yang cedera ringan kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Bakap menggunakan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk menerima rawatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
John Sagun berkata, selepas mendapati keadaan terkawal sepenuhnya, operasi ditamatkan pada jam 10.51 pagi.
Ringkasan AI
- Pasukan bomba berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki yang tersepit selepas kenderaan terbabas ke dalam parit di Jalan Ladang Victoria
- John Sagun Francis dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.07 pagi
- Kereta Toyota Vellfire yang dipandu mangsa tenggelam dalam parit berkedalaman satu meter
- Operasi penyelamatan oleh Pegawai Bomba Kanan I Ahmad Zaki Sabri dan enam anggota mengambil masa kurang dari 10 minit
- Mangsa, lelaki berusia lingkungan 40-an dengan cedera ringan, dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
