Risda, HDC meterai kerjasama perkasa usahawan wanita, pekebun kecil

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bersama Halal Development Corporation Berhad (HDC) memeterai serahan Memorandum Kerjasama (MoC) bagi memperkukuh pembangunan industri halal komuniti usahawan desa.
Bahagian Komunikasi Korporat Risda berkata, kerjasama strategik itu juga bertujuan meneroka dan memperluas peluang kolaborasi dalam pelbagai bidang yang memberi impak langsung kepada pembangunan usahawan serta pengukuhan rantaian nilai halal.
Jelasnya, antara inti pati utama inisiatif tersebut adalah pembangunan kapasiti usahawan, peningkatan pematuhan serta kesiapsiagaan pensijilan halal dan pemerkasaan keupayaan pasaran selain penglibatan komuniti desa secara lebih meluas dalam ekosistem industri halal nasional.
"Ia memperlihatkan HDC berkongsi kepakarannya bagi menyokong inisiatif memperkasa pekebun kecil dan usahawan Risda, manakala kami sendiri berperanan sebagai rakan strategik dalam memperluaskan capaian program pembangunan halal kepada komuniti akar umbi, khususnya di kawasan desa.
"Melalui kerjasama ini juga, Risda turut membuka peluang pemasaran lebih luas kepada usahawan Women in Halal Industry (WHI) melalui akses ke RisSMart24 dan rangkaian kedai runcit.
"Ini disokong bimbingan penjenamaan dan penempatan produk strategik di samping memperkukuh latihan pemasaran digital serta e-dagang di bawah skim Risda bagi meningkatkan penyertaan usahawan wanita," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Majlis menandatangani MoC itu berlangsung sempena Ekspo Agri Komoditi WHI 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sebagai manifestasi komitmen berterusan pihak berkepentingan dalam menjayakan agenda pembangunan ekonomi halal negara yang inklusif dan mampan.
Sesi penyerahan dokumen melibatkan Ketua Pengarah Risda, Zainal Azni Zulkifli; Pemangku Pengerusi HDC, Datuk Azhari Shaari serta Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Acara itu turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Pengerusi Risda, Manndzri Nasib.
Risda turut memaklumkan, kerjasama dengan HDC selari aspirasi Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) dalam membangunkan industri halal yang berimpak tinggi, memperluas peluang usahawan desa menembusi pasaran domestik dan antarabangsa serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global.
Untuk rekod 2020 hingga Disember 2025, seramai 298 usahawan Risda menerima bimbingan dan 100 daripadanya memperoleh sijil halal manakala lima lagi mendapat pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Risda kini merekodkan 17,363 usahawan bimbingan termasuk 9,204 usahawan wanita (53 peratus) dan 8,159 usahawan lelaki (47 peratus).
Ia sekali gus mengukuhkan keperluan fokus terhadap pemerkasaan wanita melalui program WHI sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi komuniti luar bandar.
Ringkasan AI
- Risda dan HDC mengadakan Memorandum Kerjasama untuk memperkukuh industri halal di kalangan usahawan desa
- Kerjasama ini bertujuan untuk mengembangkan peluang dan memperkuat rantai nilai halal
- Inisiatif meliputi pembangunan kapasiti usahawan, peningkatan pematuhan halal, dan pemerkasaan pasaran
- Melibatkan pembangunan program untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam industri halal
- Majlis penandatanganan MoC diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, menunjukkan komitmen membangunkan ekonomi halal yang inklusif dan mampan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

