Penduduk Kampung Sungai Baru bidas kenyataan mengelirukan

BANGSAR - [DIKEMAS KINI] Majoriti penduduk Kampung Sungai Baru yang menjalinkan usaha sama (JV) dengan pemaju mengakui kecewa dengan kenyataan mengelirukan dibuat segelintir pihak termasuk ahli politik dan wargamaya.
Pengerusi Persatuan Pemilik Hartanah dan Kebajikan Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus menegaskan kawasan tersebut merupakan tanah pusaka sejak generasi lampau, dan usaha memajukannya digerakkan oleh penduduk sendiri dengan kerjasama pemaju yang dipilih secara telus.
Menurutnya, Kampung Sungai Baru bukan tanah rizab Melayu dan ia boleh dibuktikan berdasarkan perjanjian jual beli dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak 1971 bagi dua unit kediaman dengan tempoh pajakan 99 tahun.
“Kami sudah mendiami Kampung Sungai Baru yang dahulunya setinggan sejak 1958 lagi. Ini tanah kami, rumah kami! Bukannya tanah anugerah.
“Penduduk bukannya tidak berpendidikan seperti diperkatakan banyak pihak termasuk Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Yang JV dengan pemaju hari ini mahukan pembangunan yang boleh beri keselesaan kerana kediaman kami sebelum ini amat daif.
“Jadi, projek pembangunan perlu dilaksanakan secepat mungkin kerana majoriti penduduk kampung sudah menunggu selama sembilan tahun. Di mana keadilan untuk mereka?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di sebuah pusat beli-belah di sini pada Ahad.
Sanita berpandangan usaha memajukan Kampung Sungai Baru tidak wajar dikekang dan dijadikan naratif buruk seperti diperkatakan akhir-akhir ini.
Tambahnya, dakwaan bahawa pemaju tidak berlaku adil kepada penduduk tidak berasas, sebaliknya golongan yang bersetuju untuk JV disediakan kediaman transit secara percuma, kebanyakannya di Residensi Kerinchi.
Kini, katanya, majoriti penduduk hanya mahu melihat pembangunan projek itu disiapkan secepat mungkin, sekali gus menjadikan kawasan tersebut setanding pembangunan maju lain di sekelilingnya.
“Penduduk bukan hanya ada kaum Melayu, ada seorang penduduk Cina juga. Ini bukan tentang perkauman, tetapi kebajikan rakyat Malaysia secara amnya.
“Apa yang dipersetujui antara majoriti penduduk dan pemaju berjalan lancar, tidak ada sebarang isu untuk digembar-gemburkan lagi.
“Cakap-cakap negatif itu hanyalah di pihak minoriti, malah penyelesaian sudah dibuat tetapi mereka masih tidak berpuas hati dan kemudiannya mencetuskan masalah,” ujarnya lagi.
Ringkasan AI
- Majoriti penduduk Kampung Sungai Baru kecewa dengan kenyataan mengelirukan dibuat segelintir pihak
- Kawasan tersebut adalah tanah pusaka generasi lampau dan bukan tanah rizab Melayu
- Penduduk telah mendiami kawasan tersebut sejak 1958 dan menjalin JV untuk pembangunan yang lebih baik
- Usaha memajukan kampung tidak sepatutnya dihadang dan menjadi naratif negatif
- Majoriti penduduk mahu pembangunan projek disiapkan secepat mungkin untuk kebajikan rakyat Malaysia secara amnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

