MyDigital ID perhebat strategi turun padang, perluas inisiatif

PUTRAJAYA – My Digital ID Sdn Bhd (MyDigital ID) mempergiat pelbagai inisiatif turun padang bagi meningkatkan pendaftaran dan penggunaan sistem itu, termasuk kerjasama dengan sektor ekonomi gig, kiosk fizikal serta penglibatan agen lapangan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Rita Irina Abd Wahab berkata, pendekatan pelbagai saluran itu dilaksanakan bagi memastikan MyDigital ID lebih dekat dengan rakyat serta mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, strategi tersebut dilaksanakan bagi memastikan MyDigital ID bukan sekadar dikenali, sebaliknya benar-benar digunakan oleh rakyat dalam urusan seharian.
“Setakat Januari, pendaftaran MyDigital ID telah mencapai 8.3 juta pengguna,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Flag Off Kenderaan Mempromosi MyDigital ID Bersama Pemain Ekonomi GIG, di sini pada Jumaat.
Rita Irina menjelaskan, antara inisiatif baharu yang dilaksanakan ialah projek rintis kerjasama e-hailing, yang bermula pada Disember lalu bagi mendekati rakyat secara lebih dekat dan santai.

Projek rintis itu melibatkan 30 kenderaan e-hailing menerusi kerjasama dengan platform pengiklanan Rodeo serta penyedia perkhidmatan InDrive dan Grab.
“Sepanjang tempoh tiga bulan pelaksanaan, hampir 1,000 penumpang telah didekati dan diberikan penerangan mengenai MyDigital ID dengan maklum balas yang diterima amat positif,” katanya.
Beliau berkata, respons baik daripada penumpang dan pemandu e-hailing mendorong pihak pengurusan meneliti kemungkinan untuk mengembangkan pendekatan tersebut ke kawasan lain di seluruh negara.
Selain itu, MyDigital ID turut mengekalkan penggunaan kiosk pendaftaran fizikal sebagai alternatif kepada pendaftaran secara dalam talian khususnya bagi golongan yang lebih selesa berurusan secara fizikal.
Menurut Rita Irina, kiosk-kiosk tersebut ditempatkan di hampir 2,000 lokasi strategik bagi memastikan rakyat mempunyai pilihan kaedah pendaftaran yang fleksibel.
“Sekarang ini, proses pendaftaran melalui aplikasi juga telah dipermudahkan dan hanya mengambil masa beberapa minit, namun kiosk masih relevan untuk kemudahan pengguna,” jelasnya.
MyDigital ID catat 400,000 kadar kepenggunaan mingguan
Bagi memperluaskan capaian, MyDigital ID turut bekerjasama dengan rakan strategik seperti perkhidmatan Internet komuniti Pusat Ekonomi Digital (NADI) dan Tealive, termasuk menyediakan tablet serta bantuan fizikal melalui agen lapangan.
Katanya, agen-agen ini ditugaskan turun padang bagi memberi penjelasan dan membantu rakyat yang memerlukan panduan secara bersemuka.
Dalam pada itu, kempen promosi dan insentif turut terbukti berkesan dalam meningkatkan pendaftaran khususnya melalui program cabutan bertuah yang dianjurkan.
Rita Irina berkata, program Rancakkan Madani di Putrajaya bulan lalu mencatatkan 5,000 pendaftaran dalam tempoh tiga hari termasuk sehingga hari terakhir cabutan bertuah dijalankan.
“Kita melihat sambutan rakyat sangat positif apabila ada elemen motivasi seperti ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihak pengurusan MyDigital ID akan mempertimbangkan kaedah yang lebih menarik bagi merancakkan lagi pendaftaran MyDigital ID pada masa akan datang.
“Insya-ALLAH akan ada pengumuman lanjut dalam masa terdekat berkaitan inisiatif baharu tersebut,” ujarnya.
Dari sudut penggunaan, Rita Irina berkata MyDigital ID kini mencatatkan lebih 400,000 penggunaan seminggu, menandakan peningkatan keyakinan rakyat terhadap sistem identiti digital nasional itu.
Sehingga kini, lebih 80 aplikasi merangkumi sektor kerajaan dan swasta telah diintegrasikan dengan MyDigital ID termasuk aplikasi utiliti dan pengangkutan awam.
Menurut beliau, integrasi tersebut memberi kemudahan kepada pengguna kerana tidak perlu lagi mengingati pelbagai kata laluan selain meningkatkan tahap keselamatan data peribadi.
Kerjasama 15 institusi perbankan
Mengulas kebimbangan golongan tanpa telefon pintar, Rita Irina menegaskan penggunaan MyDigital ID tidak menggantikan MyKad, sebaliknya melengkapkan sistem sedia ada.
“Bagi urusan tertentu seperti pengesahan kad SIM, pengguna tanpa akses digital masih boleh membuat verifikasi di kaunter menggunakan MyKad,” katanya.
Beliau menambah, MyDigital ID turut bekerjasama dengan 15 institusi perbankan menerusi sandbox yang dikendalikan bersama Bank Negara Malaysia bagi menguji aspek pematuhan dan keselamatan.
“Keseluruhannya, pendekatan pelbagai saluran ini mencerminkan komitmen MyDigital ID untuk memastikan identiti digital negara dapat dimanfaatkan secara meluas, selamat dan inklusif oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
e-hailing bantu rakyat daftar MyDigital ID
Sementara itu, usaha mempergiat pendaftaran MyDigital ID kini tidak lagi terbatas di kaunter atau kiosk, sebaliknya bergerak di jalan raya menerusi penglibatan pemandu e-hailing yang berperanan sebagai duta kecil kepada sistem identiti digital negara itu.
Tommy Choo Zhang Liang, 35, yang memandu sepenuh masa di sekitar Lembah Klang berkata, dalam tempoh sebulan, lebih 50 penumpang mendaftarkan sistem itu menerusinya.
Dia berkata, segala maklumat berkaitan termasuklah kod QR dipaparkan di dalam kereta bagi memudahkan penumpang mendapatkan maklumat lanjut.
"Saya akan menerangkan kepentingan MyDigital ID kepada selain turut membantu proses pendaftaran," katanya yang turut memberikan t-shirt MyDigital ID kepada penumpang sebagai cenderahati.
Pendekatan hampir sama dilakukan oleh Mohd Azad Al Fareez, 38, yang kerap membawa penumpang melakukan perjalanan harian ke hospital.
Katanya, ramai penumpang perlu mendaftar MyDigital ID bagi urusan temu janji rawatan serta menyemaknya melalui aplikasi berkaitan.
“Saya menggalakkan dan membantu penumpang mendaftar. Saya berkeyakinan sasaran untuk lebih ramai mendaftar akan tercapai menerusi strategi ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

