Kerajaan sedia pelbagai inisiatif untuk masyarakat India bernilai lebih RM42 juta - PM

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyediakan beberapa inisiatif baharu bernilai RM42.25 juta khusus untuk manfaat masyarakat India, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, inisiatif berkenaan termasuk program tuisyen percuma dan pemberian komputer riba melalui inisiatif Peranti Siswa.
Anwar berkata, inisiatif berkenaan yang turut merangkumi program pembaikan sekolah di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), dikongsikan beliau semasa pertemuan santai bersama pengamal media Tamil dan pempengaruh media sosial di Madras Bakery, Brickfields pada Khamis.
"Usai program rasmi hari ini, saya singgah di Little India, Brickfields bagi meninjau persiapan masyarakat Hindu yang bakal menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi.
"Sejurus tiba, saya berkesempatan menikmati minum petang bersama pengamal media Tamil dan pempengaruh media sosial di Madras Bakery sambil bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa,” katanya dalam hantaran di Facebook malam Khamis.
Selain pertemuan itu, beliau turut meninjau persiapan masyarakat India menjelang sambutan Deepavali di beberapa kedai dan gerai jualan di tapak bazar Little India, Brickfields.
"Semoga sambutan Deepavali tahun ini diraikan dengan penuh kegembiraan, kesyukuran dan semangat perpaduan,” kata beliau. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan menyediakan inisiatif baharu bernilai RM42.25 juta untuk manfaat masyarakat India
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif ini
- Inisiatif termasuk program tuisyen percuma dan pemberian komputer riba
- Program ini juga merangkumi program pembaikan sekolah di bawah MITRA
- Perdana Menteri meninjau persiapan Deepavali di Little India, Brickfields dan bertemu pengamal media Tamil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
