Bengang laluan dihalang, lelaki pecah cermin kedai makan guna topi keledar

KOTA BHARU – Gara-gara tidak berpuas hati apabila laluannya dihalang sebuah kereta, seorang lelaki bertindak memecahkan cermin almari makanan di sebuah kedai makan menggunakan topi keledar dalam kejadian di Kampung Landak, Pengkalan Chepa, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemilik kedai makan berusia 25 tahun kira-kira jam 7.19 malam.
“Satu rakaman video kejadian itu turut dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘Imran Bard’ sehingga tular di media sosial pada Selasa.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek apabila kereta pengadu dikatakan menghalang laluannya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, suspek yang berusia 36 tahun itu kemudian bertindak memecahkan cermin almari makanan menggunakan topi keledar di kedai makan terbabit.
Tambahnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu berjaya menahan lelaki terbabit kira-kira jam 1 pagi pada Rabu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk permohonan reman. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Ringkasan AI
- Lelaki pecahkan cermin almari makanan dengan topi keledar kerana tidak puas hati kereta menghalang laluannya di Kampung Landak, Pengkalan Chepa
- Kejadian itu berlaku pada Isnin dan dilaporkan kepada polis jam 7.19 malam
- Rakaman video kejadian tular di media sosial
- Suspek berusia 36 tahun ditahan polis jam 1 pagi pada Rabu
- Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

