Perseorangan lelaki 'sendu', tugas berat menanti Seu Bock

Seu Bock (kiri) kini dilantik ketua jurulatih perseorangan lelaki senior negara. Foto Bernama
Seu Bock (kiri) kini dilantik ketua jurulatih perseorangan lelaki senior negara. Foto Bernama
A
A
A

KEPULANGAN Datuk Tey Seu Bock sebagai jurulatih perseorangan lelaki senior kebangsaan hadir pada saat paling mencabar.

Prestasi semasa perseorangan lelaki ini jelas membimbangkan, terutama apabila dua kejohanan awal musim Terbuka Malaysia dan Terbuka India gagal menghadirkan keputusan memberangsangkan.

Di Terbuka Malaysia, cabaran pemain negara tersekat seawal pusingan pertama dan kedua, manakala di Terbuka India pula menyaksikan Justin Hoh dan Leong Jun Hao serta perseorangan profesional, Lee Zii Jia semuanya tersingkir di pusingan pertama.

Senario ini menambah tekanan kepada Seu Bock yang diberi mandat untuk menyusun semula hala tuju perseorangan lelaki, lebih-lebih lagi menjelang musim padat termasuk kempen Piala Thomas pada April depan.

Mengikut rekod, Seu Bock bukan nama asing dalam landskap badminton negara.

Jurulatih berusia 52 tahun itu merupakan watak penting di sebalik kebangkitan legenda negara, Datuk Seri Lee Chong Wei, termasuk membantu meraih tiga pingat perak Sukan Olimpik di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak 2002, beliau pernah menjadi pembantu kepada Misbun Sidek sebelum mengambil peranan utama melatih Chong Wei pada 2011.

Terbaharu, pada Oktober 2024, Seu Bock turut mengemudi barisan perseorangan lelaki remaja yang menjadi satu pengalaman penting dalam membentuk kesinambungan bakat.

Jurang besar

Artikel Berkaitan:

Namun, cabaran kali ini jauh berbeza. Dari sudut ranking dunia, jurang kualiti antara sektor perseorangan dan beregu semakin ketara.

Beregu lelaki negara berada pada tahap sangat ampuh dengan Aaron Chia–Soh Wooi Yik menghuni ranking kedua dunia, Man Wei Chong–Tee Kai Wun di kedudukan keenam dan Nur Izzuddin Rumsani–Goh Sze Fei (profesional) di tangga ketujuh dunia.

Jun Hao kini menghuni ranking ke-23 dunia. Foto Agensi
Jun Hao kini menghuni ranking ke-23 dunia. Foto Agensi

Sebaliknya, perseorangan lelaki masih bergelut dengan Jun Hao di ranking ke-23 dunia, Justin Hoh (39), Aidil Sholeh (45) dan Lee Zii Jia merosot ke tangga ke-119 dunia akibat lama tidak beraksi kerana kecederaan.

Ketidakseimbangan ini memberi implikasi besar terhadap sasaran berpasukan negara, khususnya misi menamatkan badi 34 tahun tanpa kejuaraan Piala Thomas.

Dalam kejohanan berpasukan, perseorangan lelaki sering menjadi penentu awal momentum perlawanan.

Tanpa sumbangan mata yang konsisten, kekuatan beregu sekalipun sukar dimanfaatkan sepenuhnya.

Justeru, tugas Seu Bock amat besar untuk memperbaiki teknik atau taktikal pemain tetapi juga membina semula keyakinan, kestabilan mental serta daya saing di pentas tertinggi.

Dengan jadual kejohanan yang padat sepanjang tahun ini, tempoh untuk bereksperimen amat terhad.

Kejayaan beliau sebelum ini membuktikan keupayaan membentuk juara, namun kali ini cabarannya adalah melahirkan semula budaya menang dalam kalangan perseorangan lelaki yang merupakan satu misi besar menentukan hala tuju badminton Malaysia dalam tempoh terdekat.

Ringkasan AI

  • Kepulangan Datuk Tey Seu Bock sebagai jurulatih perseorangan lelaki senior kebangsaan hadir pada saat paling mencabar
  • Prestasi semasa perseorangan lelaki Malaysia membimbangkan dengan kegagalan awal di Terbuka Malaysia dan Terbuka India
  • Seu Bock diberi mandat untuk menyusun semula hala tuju sektor perseorangan lelaki, terutama menjelang kempen Piala Thomas
  • Jurulatih berusia 52 tahun itu penting dalam kebangkitan Datuk Seri Lee Chong Wei, meraih tiga pingat perak Sukan Olimpik
  • Cabaran utama Seu Bock adalah memperbaiki teknik, taktikal pemain dan membina semula keyakinan serta daya saing mereka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!