Menghidupkan yang telah mati

Sebelum UPSR dan PT3 dimansuhkan, ada banyak pihak meminta supaya sistem pendidikan negara dirombak supaya tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata. Gambar hiasan
Sebelum UPSR dan PT3 dimansuhkan, ada banyak pihak meminta supaya sistem pendidikan negara dirombak supaya tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata. Gambar hiasan
A
A
A

UJIAN Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sudah pun 'dikebumikan' pada tahun 2020.

Tetapi ia terus disebut-sebut dan diminta-minta untuk 'dihidupkan' semula kerana ada ibu bapa mengatakan sukar untuk mengetahui kedudukan atau pencapaian sebenar anak mereka.

Ada yang mengatakan anak mereka terpaksa berdepan cabaran besar apabila menghadapi peperiksaan penting iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa melalui peperiksaan lain terlebih dahulu.

Sekurang-kurangnya UPSR dan PT3 menjadi persediaan sebelum tempuhi SPM.

Tanpa peperiksaan itu juga, ada ibu bapa kata penilaian untuk memasuki mana-mana sekolah berasrama penuh atau sekolah berprestasi tinggi tidak adil dan telus kerana ujian khas terlalu subjektif serta sukar.

Jadi kerajaan yang memerintah sekarang kena 'telan' dan terima segala kritikan kerana keputusan sudah dibuat dan sebarang tindakan melakukan pusingan U amat berisiko tinggi malah menyusahkan semua orang.

Sebelum UPSR dan PT3 dimansuhkan, ada banyak pihak meminta supaya sistem pendidikan negara dirombak supaya tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Tetapi selepas dimansuhkan, ada pula orang mahu ia dikembalikan kerana peperiksaan penting dalam kehidupan. Ini sudah menjadi perdebatan besar iaitu mana yang wujud dulu ayam atau telur.

Tiba-tiba Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek beritahu kita semua kerajaan akan kaji semula UPSR dan PT3. Ini seperti 'pintu keranda' kedua-dua peperiksaan itu akan dibuka semula.

Artikel Berkaitan:

Namun Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad memaklumkan kajian semula itu tidaklah dibuat secara tergesa-gesa dan perlu melalui proses kajian menyeluruh melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Menurut beliau, Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan masih belum menetapkan pihak yang akan terlibat dalam kajian berkenaan.

Beliau berharap pihak yang terlibat dalam kajian itu nanti, dapat memastikan cadangan diberikan berlandaskan pengetahuan dan pemahaman yang jitu supaya murid tidak menjadi ‘tikus makmal’.

Mohd Azam turut memberikan jaminan sekiranya peperiksaan itu diputuskan untuk dilaksanakan semula, format peperiksaannya akan diteliti oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum bersama Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi memastikan penilaian murid berlaku secara holistik dan selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.

Ini bererti UPSR dan PT3 ini mungkin akan dihidupkan semula tetapi dalam bentuk dan pendekatan yang berbeza. Boleh jadi rohnya sama tetapi jasadnya nanti lain.

Beginilah dunia pendidikan di negara ini. Setiap kali bertukar kerajaan dan menteri, ada macam-macam yang hendak dilakukan demi untuk memuaskan hati semua pihak. Tetapi malangnya mustahil bagi semua orang gembira.

Bagaimanapun, kita harap kerajaan dapat buat keputusan terbaik untuk semua pihak dan bagi kebanyakan ibu bapa terimalah hakikat bahawa dunia sudah berubah dan tidak boleh lagi bernostalgia seperti masa lalu lagi.

Contohnya budak-budak zaman dulu senang diajar dengan rotan, tetapi budak-budak zaman sekarang kena guna pendekatan lain pula.

Ironinya, yang pernah kena rotan satu ketika dulu akan cakap pada diri sendiri, apabila mereka dewasa kelak, mereka tak akan buat begitu pada anak sendiri, sebab itulah generasi sekarang berbeza berbanding dulu.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!