Jangan lupa jasa Syed Ahmad Idid

BERMULA 1 Januari lalu, seramai 150 hakim menerima kenaikan gaji selepas lebih 10 tahun tidak buat sebarang pelarasan.
Kita harap dengan kenaikan tersebut dapat memberi semangat kepada badan kehakiman dan membolehkan mereka berkhidmat dengan penuh dedikasi dan berintegriti tinggi.
Namun di sebalik kegembiraan tersebut mungkin kerajaan lupa tentang sosok seorang bekas hakim Mahkamah Tinggi yang telah teraniaya sejak sekian lama iaitu Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah.
Beliau telah dipaksa untuk melepaskan jawatan hanya kerana mendedahkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam institusi kehakiman pada pertengahan 1990-an.
Syed Ahmad Idid merupakan anak kelahiran Alor Setar, Kedah, memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat pada 1957, sebelum menyertai Jabatan Kastam sebagai Penolong Pengarah pada 1960.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian undang-undang di London dan ditauliahkan sebagai barrister-at-law di Inns of Court. Sekembali ke Malaysia, beliau dilantik hakim Mahkamah Tinggi di Sabah, sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur.
Nama beliau menjadi tumpuan nasional apabila menulis surat kepada Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Mohd Eusoff Chin, yang mengandungi dakwaan salah laku membabitkan 12 hakim kanan.
Surat itu menuntut siasatan dalaman terhadap dakwaan sogokan, pilih kasih dalam pengagihan kes, hubungan tidak wajar dengan ahli politik dan peguam, serta manipulasi keputusan kehakiman demi kepentingan peribadi atau politik.
Beliau turut mendedahkan wujudnya bayaran bagi mempengaruhi keputusan mahkamah — yang menurutnya menjejaskan integriti badan kehakiman dan menghakis kepercayaan awam.
Bagaimanapun, tiada siasatan rasmi dijalankan terhadap dakwaan itu. Sebaliknya, fokus beralih kepada siasatan polis terhadap beliau bagi menentukan penulis surat berkenaan.
Susulan tekanan dan proses undang-undang yang menyelubungi beliau, Syed Ahmad Idid dipaksa meletakkan jawatan pada 1 Julai 1996 tanpa pencen atau faedah persaraan.
Keputusan itu menyebabkan beliau menanggung kesusahan hidup dan menjadi simbol kontroversi dalam perbahasan kebebasan kehakiman di Malaysia.
Selepas meninggalkan badan kehakiman, beliau terus aktif dalam bidang timbang tara dan pengurusan profesional. Pada 2004, beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Asian International Arbitration Centre).
Beliau juga pernah memimpin Institut Pengurusan Personel Malaysia sebagai Presiden dan terlibat dalam sektor perbankan serta persatuan perundangan antarabangsa.
Selain undang-undang, beliau turut menabur jasa dalam gerakan pengakap apabila mengasaskan Persaudaraan Pengakap Raja Malaysia, mencerminkan komitmen beliau terhadap pembangunan belia dan kepimpinan masyarakat.
Pada 2025, isu beliau kembali dibincangkan di media dan platform digital, dengan desakan baharu agar kerajaan bersihkan nama beliau serta pertimbang pemberian pampasan atau reparasi atas tindakan beliau sebagai pemberi maklumat.
Advokasi itu menuntut keadilan retrospektif dan pemulihan maruah beliau, sekali gus menghidupkan kembali perdebatan tentang kebertanggungjawaban, ketelusan, dan reformasi institusi kehakiman negara.
Ini adalah masa terbaik untuk Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan keadilan kepada Syed Ahmad Idid dan ia menjadi simbol perjuangan menghapuskan rasuah serta meningkatkan integriti negara.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
