Lelaki lemas terjatuh bot arung jeram

KENINGAU - Seorang lelaki lemas ketika melakukan aktiviti sukan arung jeram dalam kejadian di sungai Kabulongou Earth Sapulut, Nabawan pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, Ramli Mayakin berusia 40-an telah terjatuh dari bot yang dinaikinya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Rudy Mekii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah hari.
Katanya, seramai 12 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 53 kilometer dari BBP Nabawan.
"Komander operasi melaporkan terdapat seorang mangsa terjatuh semasa melakukan aktiviti arung jeram.
"Mangsa ditemui oleh orang awam di tepi sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, pasukan bomba mengalami kesukaran untuk ke lokasi berikutan laluan yang sempit dan jalan yang tidak berturap.
"Sebaik tiba, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam sungai.
"Namun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya.
Rudy berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi pula ditamatkan pada jam 6.30 petang," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki lemas ketika arung jeram di sungai Kabulongou Earth Sapulut, Nabawan pada Jumaat
- Ramli Mayakin berusia 40-an terjatuh dari bot
- Balai Bomba dan Penyelamat Nabawan menerima panggilan kecemasan jam 12.40 tengah hari
- Seramai 12 anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian
- Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan setelah ditemui tidak sedarkan diri di tepi sungai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
