Tuntutan politik DAP tidak berjaya selagi UMNO dalam kerajaan – Hasnal Rezua

Hasnal Rezua
Hasnal Rezua
A
A
A

KUALA LUMPUR – DAP tidak mampu merealisasikan sebarang tuntutan yang berpaksikan agenda politik parti selagi UMNO kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua UMNO Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, UMNO akan terus berperanan sebagai benteng utama dalam mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Malah menurutnya, perkara itu terbukti apabila UMNO secara konsisten menentang beberapa tuntutan DAP termasuk desakan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

"Bukan bermakna apabila DAP membuat tuntutan, UMNO sudah gagal kerana tidak berani melawan.

"Tugas UMNO menjadi benteng dalam kerajaan (untuk) mempertahankan segala perjuangan orang Melayu dan kita tidak akan beri laluan kepada permintaan mereka.

"Jadi mengapa kita masih dilabel sebagai UMDAP sedangkan disebabkan UMNO berada dalam kerajaanlah semua tuntutan tersebut gagal," katanya ketika perbahasan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau menegaskan, situasi tersebut sepatutnya menjadi kebanggaan kepada ahli dan penyokong UMNO kerana membuktikan peranan parti mengekang tuntutan yang didakwa bercanggah dengan kepentingan rakyat.

Justeru, beliau berharap lebih ramai bekas ahli UMNO yang pernah meninggalkan parti kembali menyertai perjuangan menerusi inisiatif Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa seperti diumumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kitra mengharapkan kepulangan lebih ramai mereka yang pernah berbumbung di bawah rumah bangsa ini dan bernaung di bawahnya.

Artikel Berkaitan:

"Orang kata rezeki tidak pernah salah alamat tetapi hijrah politik kadang-akadang tersalah alamat.

"UMNO sebagai wadah perjuangan yang menegakkan rumah bangsa, maka mari kita sambut kepulangan mereka ke rumah ini," ujarmya.

Ringkasan AI

  • DAP tidak mampu merealisasikan tuntutan politiknya selagi UMNO dalam Kerajaan Perpaduan
  • UMNO mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam
  • UMNO menentang tuntutan DAP termasuk PBT, pengiktirafan UEC dan RUU PSB
  • UMNO dilihat sebagai benteng mempertahankan perjuangan orang Melayu
  • Diinginkan lebih ramai bekas ahli UMNO kembali menyertai parti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!