Biasiswa penuh UIAM bantu pelajar Orang Asli kejar impian jadi doktor

GOMBAK – Seorang pelajar baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang merupakan Orang Asli suku kaum Kuala melahirkan rasa syukur apabila impian melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Perubatan dan Pembedahan akhirnya tercapai.
Bukan itu sahaja, Muhammad Naufal Adam Mohd Nasir, 19, dari Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor, turut menerima biasiswa penuh daripada universiti berkenaan sepanjang tempoh pengajiannya.

“Saya amat bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerana ia akan menolong saya melangsungkan cita-cita serta impian untuk menjadi seorang doktor.
“Saya memang minat untuk menjadi doktor sejak kecil, antara sebab lain saya ingin menunaikan impian ibu dan ayah saya,” katanya pada Ahad.
Muhammad Naufal Adam juga berharap dapat menjadi inspirasi kepada adik-adik lain dalam menghadapi cabaran untuk mencapai cita-cita, walau dalam apa jua bidang.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar, Mersing itu sebelum ini memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Pada 2024, dia ditawarkan kemasukan ke program Asasi Perubatan UIAM dengan biasiswa penuh sepanjang pengajian selama satu tahun.
Anak sulung daripada empat beradik itu menunjukkan prestasi dan pencapaian cemerlang di peringkat asasi dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
Biasiswa diterima Muhammad Naufal Adam adalah daripada IIUM Academy Scholarship yang dianugerahkan kepada pelajar cemerlang, khususnya dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan.
Tawaran biasiswa berkenaan dibuat berdasarkan pencapaian akademik dan latar belakang keluarga penerima, yang meliputi yuran pengajian, penginapan asrama serta elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
Majlis penyerahan anugerah biasiswa tersebut diadakan sempena Majlis Bai‘ah (Ikrar) pelajar baharu UIAM bagi Semester 1 2025/2026 yang disempurnakan oleh Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.
Sementara itu, Dekan IIUM Academy, Profesor Madya Dr Badri Najib Zubir berkata, kejayaan Muhammad Naufal Adam di peringkat sekolah dan asasi membuktikan keupayaan serta kesungguhan beliau yang tinggi.
“Pihak universiti ingin menyokong beliau meneruskan kecemerlangan di peringkat lebih tinggi dan mendokong beliau untuk mencapai cita-cita menjadi seorang doktor.
“Peluang yang diperoleh Naufal ini bukan sahaja menjadi dorongan buat dirinya, malah mencerminkan komitmen UIAM dalam melahirkan pelajar berpotensi tinggi melalui sokongan pendidikan menyeluruh serta membina ummah cemerlang,” katanya.
Ringkasan AI
- Pelajar Orang Asli dari suku kaum Kuala telah diterima di UIAM untuk pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Perubatan dan Pembedahan
- Muhammad Naufal Adam Mohd Nasir berusia 19 tahun dari Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor mendapat biasiswa penuh dari UIAM
- Memiliki minat yang mendalam untuk menjadi doktor sejak kecil sebagai penunaian impian ibu bapa
- Muhammad Naufal Adam memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menunjukkan prestasi cemerlang dengan PNGK 4.0 di peringkat asasi
- Biasiswa yang diterima adalah IIUM Academy Scholarship berdasarkan pencapaian akademik dan latar belakang keluarga, meliputi yuran pengajian, penginapan asrama, dan elaun sara hidup
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
