SPRM cadang moratorium enam bulan nilai kemasukan e-waste, sisa plastik

Azam mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil 1/2026 di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Jumaat. Foto: SPRM
Azam mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil 1/2026 di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Jumaat. Foto: SPRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan moratorium sementara selama enam bulan bagi menilai kesan sebenar terhadap negara berkaitan kemasukan sisa plastik dan sampah elektronik (e-waste).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tempoh enam bulan itu dicadangkan sebagai langkah percubaan untuk melihat implikasi sebenar terhadap ekonomi, alam sekitar serta sistem penguatkuasaan negara.

"Perkara ini akan dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi meneliti punca kuasa yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dasar jangka panjang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 1/2026 di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman serta Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Azam (kanan) bersalaman dengan Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal pada Jumaat. Foto: SPRM
Azam (kanan) bersalaman dengan Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal pada Jumaat. Foto: SPRM

Azam berkata, penubuhan Pasukan Petugas Khas itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan bahawa isu pengimportan sisa plastik dan e-waste bukan lagi sekadar isu teknikal atau alam sekitar, sebaliknya telah menjadi isu tadbir urus, integriti penguatkuasaan serta kepentingan nasional.

Tambahnya, menerusi surat Ketua Setiausaha Negara bertarikh 8 Disember 2025, SPRM dilantik sebagai pengerusi pasukan itu, menandakan peralihan kepada pendekatan pengurusan risiko nasional secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"Isu berkenaan turut berkait rapat dengan obligasi antarabangsa Malaysia di bawah Konvensyen Basel yang mengawal pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya," ujarnya.

Katanya lagi, laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) 2025 menunjukkan Malaysia antara negara teratas mengimport sisa sejak 2023, manakala Mismanaged Waste Index (MWI) 2025 mengklasifikasikan Malaysia dalam kategori tinggi dengan kira-kira 26.4 peratus sisa plastik tidak diuruskan dengan baik.

Dalam mesyuarat itu, Azam menegaskan keperluan kerjasama rapat antara 12 pasukan petugas khas yang dilantik, khususnya melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurut beliau, JKDM misalnya berperanan mengawal import dan eksport serta mencegah penyeludupan selaras dengan peruntukan Akta Kastam 1967, manakala JAS bertanggungjawab melaksana dan menguatkuasakan Konvensyen Basel termasuk kelulusan serta pemantauan import dan eksport sisa.

"MITI pula berperanan menggubal dasar perdagangan dan industri serta mengawal kelulusan lesen berkaitan import dan eksport," ujarnya.

Sementara itu, Malaysia telah mula mengetatkan sekatan import sisa plastik berkuat kuasa 1 Julai 2025, dengan kebanyakan import dilarang kecuali yang dibenarkan melalui sistem permit SIRIM dan MITI. Langkah itu bertujuan mengurangkan kemasukan plastik buangan asing serta memastikan hanya sisa sesuai untuk kitar semula dibenarkan masuk ke negara ini.

 

 

Ringkasan AI

  • SPRM mencadangkan moratorium selama enam bulan untuk menilai kesan kemasukan sisa plastik dan sampah elektronik ke Malaysia
  • Moratorium ini bertujuan melihat implikasi terhadap ekonomi, alam sekitar, dan sistem penguatkuasaan
  • Penubuhan Pasukan Petugas Khas menandakan pengiktirafan kerajaan terhadap isu pengimportan sisa plastik dan e-waste sebagai isu tadbir urus dan kepentingan nasional
  • Malaysia antara negara teratas mengimport sisa sejak 2023 dan mengklasifikasikan tinggi dalam Mismanaged Waste Index 2025
  • Malaysia telah mengetatkan sekatan import sisa plastik mulai 1 Julai 2025, hanya membenarkan import yang sesuai untuk kitar semula

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!