Letak jawatan Exco, Akmal Saleh ubah naratif politik Pemuda UMNO

KEPUTUSAN Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meletakkan jawatan sebagai Exco Melaka menandakan peralihan penting daripada retorik politik kepada tindakan berprinsip, sekali gus mengubah naratif terhadap peranan Pemuda UMNO dalam landskap politik semasa.
Peletakan jawatan membabitkan portfolio Exco Kemajuan Desa dan Keterjaminan Makanan negeri itu bukan sekadar keputusan pentadbiran, sebaliknya isyarat jelas bahawa pendiriannya untuk menentang DAP tidak lagi mahu dibayangi kedudukan dalam kerajaan negeri.
Langkah itu turut berfungsi sebagai jawapan langsung terhadap sindiran Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, yang mempertikai keputusannya dengan mengaitkan isu 'cakap tak serupa bikin', sekali gus mencabar kredibiliti dan konsistensi Muhamad Akmal sebagai pemimpin muda.
Dengan memilih untuk berundur daripada jawatan Exco, Muhamad Akmal membina semula kedudukannya sebagai tokoh yang menilai prinsip dan maruah lebih tinggi daripada kedudukan.
Selain itu, beliau juga menutup ruang kritikan bahawa serangannya terhadap DAP bersifat selamat dan berlapik.
Dalam konteks dalaman parti, tindakan itu juga mengurangkan tekanan terhadap kepimpinan UMNO dalam kerajaan perpaduan, apabila serangan terhadap DAP tidak lagi datang daripada anggota pentadbiran negeri, sekali gus memisahkan peranan Muhamad Akmal sebagai pemimpin Pemuda daripada tanggungjawab eksekutif.
Reaksi sokongan daripada rakan sejawat politik di luar UMNO pula memperlihatkan perubahan kedudukan Muhamad Akmal sebagai figura dilihat melangkaui sempadan parti, khususnya dalam membentuk naratif politik yang berteraskan identiti, prinsip dan ketegasan.
Perkembangan ini menjadikan Muhamad Akmal bukan lagi sekadar suara lantang Pemuda UMNO, sebaliknya aktor politik yang sanggup menanggung risiko demi memastikan kata-kata disokong oleh tindakan, satu pendekatan yang jarang dipilih dalam politik semasa.
Langkah tersebut dijangka terus mempengaruhi hala tuju peranan Pemuda UMNO serta perdebatan lebih besar mengenai hubungan antara prinsip, jawatan dan strategi politik dalam suasana politik yang semakin berlapis dan mencabar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

