Harga barang naik sebab pengguna beli berlebihan

Darshan Singh
Darshan Singh
A
A
A

SHAH ALAM - Harga beberapa barangan terutama bahan mentah di negara ini naik dipercayai berpunca daripada tindakan pengguna yang membeli barangan keperluan harian itu secara berlebihan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Darshan Singh berkata, sikap pengguna yang melakukan pembelian barangan secara berlebihan akan mengganggu rantaian pembekalan.

"Pengguna harus membeli apa yang diperlukan seperti biasa sahaja kerana sekiranya melakukan pembelian secara berlebihan maka akan berlaku kekurangan bekalan di pasaran seterusnya menyebabkan kenaikan harga.

"Kita boleh mengharungi tempoh memerangi Covid-19 ini jika keseluruhan masyarakat bekerjasama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Mengikut analisis dikeluarkan Jabatan Perangkaan semalam, harga purata barangan utama di negara ini didapati mengalami kenaikan sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

Antara barangan yang mengalami kenaikan adalah ikan kembung yang naik kepada RM14.08 berbanding RM13.92 sebelum PKP dilaksanakan, telur ayam gred A RM3.99 (RM3.87), timun RM3.09 (RM2.91), kelapa parut RM7.73 (RM7.65) dan daging lembu tempatan bahagian paha RM32.80 (RM32.74).

Mengulas lanjut, Darshan berkata, kenaikan harga juga dipengaruhi oleh bekalan import termasuk bawang yang harganya melonjak kerana India telah menghentikan eksport bahan mentah itu ke negara ini.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga barang.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin sebab kenaikan masih tidak begitu ketara dan masih terkawal. Namun kenaikan ketara mungkin berlaku sekiranya terdapat kekurangan bekalan yang serius.

"Oleh itu, kerajaan perlu pastikan bekalan barangan keperluan ini tidak alami sebarang gangguan serius. Ini adalah aspek paling kritikal ketika ini," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu melakukan pemantauan lebih menyeluruh terhadap harga barangan keperluan asas yang diimport kerana kebanyakan negara di seluruh dunia terjejas akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

"Penguat kuasa perlu teruskan pemantauan untuk pastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan oleh peniaga.

"Memandangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempunyai bilangan penguat kuasa yang terhad maka menjadi tanggungjawab pengguna untuk segera membuat aduan jika peniaga meletakkan harga tidak masuk akal," katanya.

Menurutnya, kerjasama daripada pengguna akan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan secara bersasar dan strategik.

"Setakat ini kita lihat kerajaan masih dapat kawal situasi dan diharapkan ia berterusan," katanya.