CAP setuju tiada subsidi kepada pengguna elektrik berlebihan

Mohaideen
Mohaideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) setuju dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isi rumah yang menggunakan tenaga elektrik berlebihan tidak lagi menikmati subsidi.

Presidennya, Mohaideen Abdul Kader berkata, menurut laporan media pada Ogos tahun lalu kerajaan dijangka membelanjakan RM6.51 bilion subsidi tarif elektrik untuk tahun itu.

Menurutnya, di bawah subsidi menyeluruh, golongan kaya atau T20 akan mendapat manfaat lebih daripada isi rumah B40 dan M40 kerana mereka menggunakan lebih banyak elektrik berikutan penggunaan peralatan elektrik yang memerlukan banyak tenaga seperti pendingin hawa.

"Kami bersetuju isi rumah T20 menggunakan peralatan yang banyak dan menggunakan tenaga yang tinggi perlu membayar kadar elektrik tanpa subsidi.

"Jika mereka ingin mengurangkan kos penggunaan elektrik mereka, maka mereka boleh mempunyai pilihan untuk memasang panel solar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohaideen berkata, kerajaan kini menuju ke landasan yang betul dalam meneruskan subsidi yang disasarkan kepada isi rumah B40 dan M40 manakala mereka yang berada di T20 boleh membayar untuk gaya hidup mewah mereka atau terpaksa mengurangkannya.

Beliau berkata, apabila tarif elektrik dibandingkan di sembilan daripada 10 negara ASEAN, elektrik isi rumah Malaysia adalah yang ketiga termurah selepas Myanmar dan Laos.

"Kami juga bersetuju cadangan kadar subsidi untuk isi rumah B40 dan M40 dikekalkan dengan cara mengimbangi kos dengan mengenakan kadar yang lebih tinggi untuk kilang-kilang utama.

"Mereka yang berada dalam sektor pertanian atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terhindar daripada sebarang peningkatan manakala mereka dalam pembuatan bernilai tinggi boleh membayar elektrik yang lebih mahal.

"Keseluruhan objektif subsidi bersasar ini adalah untuk memastikan bahawa apa sahaja subsidi yang diberikan oleh kerajaan perlu memberi manfaat kepada kategori orang yang betul dan juga untuk mengurangkan ketirisan secara drastik," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia perlu melahirkan graduan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri ilmu seperti yang dibuktikan oleh Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas yang bermula pada awal 1970-an.

Jelasnya, statistik terkini mengenai PKS menunjukkan terdapat 1,258,763 pertubuhan menyumbang kepada 37.4 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia.

"PKS tidak akan terjejas dengan peningkatan tersebut.

"Ia juga sama bagi sektor pertanian kritikal yang negara memerlukan segera untuk merangsang pengeluaran makanan," katanya.