Kebocoran paip gas di Kerteh terkawal, 21 pelajar tahfiz dibenar pulang

KEMAMAN – Insiden kebocoran paip gas di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh di sini disahkan terkawal dan selamat dengan bacaan sifar direkodkan di semua lokasi pemantauan setakat tengah hari Selasa.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pemeriksaan pada jam 12 tengah hari mendapati kesemua lapan alat pengesan yang dipasang termasuk berhampiran terowong merekodkan bacaan kosong.
Menurutnya, seramai 21 penghuni Pusat Tahfiz al-Muqarabbin yang sebelum ini dipindahkan disebabkan berada di kawasan berhampiran insiden itu turut dibenarkan pulang pada Selasa.
"Masyarakat tidak perlu bimbang kerana situasi terkini di lokasi kejadian disahkan terkawal dan mereka boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
"Walaupun begitu, pihak berkuasa masih memantau situasi dengan rapi dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak menghampiri kawasan kejadian serta sentiasa mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan.
Katanya, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan insiden itu ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di talian 09-859 2222.
Sabtu lalu, insiden kebocoran itu dilaporkan berlaku sekitar jam 9.49 pagi selepas pekerja tapak melihat asap putih keluar dari kawasan terbabit.
Petronas Gas Berhad (PGB) sebelum ini menutup dua injap utama bagi mengawal kebocoran dan menjalankan kerja-kerja pengosongan gas yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari.
Kawasan kejadian turut diisytiharkan sebagai zon larangan masuk dengan kawalan keselamatan 24 jam oleh polis bagi mengelakkan sebarang risiko.
Ringkasan AI
- Kebocoran paip gas di tapak projek ECRL Seksyen 5, Kerteh terkawal dengan bacaan sifar direkodkan
- Insiden itu menyebabkan 21 penghuni Pusat Tahfiz al-Muqarabbin dipindahkan, kini dibenarkan pulang
- Masyarakat diingatkan untuk menjalankan aktiviti harian seperti biasa dengan situasi terkini disahkan terkawal
- Orang awam diingatkan untuk tidak menghampiri kawasan kejadian dan mematuhi arahan keselamatan
- Kawasan kejadian diisytiharkan sebagai zon larangan masuk dengan kawalan keselamatan 24 jam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
