Minuman herba ‘akar kayu’ tanpa kelulusan, PGA rampas lebih RM1 juta

Minuman herba disyaki tidak berdaftar dengan KKM dan peralatan yang digunakan disyaki untuk menghasilkan minuman herba.
Minuman herba disyaki tidak berdaftar dengan KKM dan peralatan yang digunakan disyaki untuk menghasilkan minuman herba.
A
A
A

BALING - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya membongkar kegiatan pemprosesan minuman herba tanpa kelulusan dalam serbuan di sebuah premis dalam Operasi Intra-Agensi membabitkan rampasan lebih RM1 juta.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, hasil serbuan mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti memproses minuman berasaskan akar kayu dan pelbagai ramuan tradisional tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semakan lanjut mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen daripada Majlis Daerah Baling dan KKM," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi turut menemui pelbagai peralatan memasak, mesin memproses dan membungkus minuman herba, sejumlah besar akar kayu serta herba, selain minuman herba yang telah siap dibungkus dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM1.03 juta.

Peralatan memproses turut dirampas untuk siasatan lanjut.
Peralatan memproses turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Dalam operasi itu, seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 41 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, operasi bersepadu dilaksanakan oleh Cawangan Risik Batalion 2 PGA dengan bantuan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman dan kerjasama Majlis Daerah Baling, Pejabat Kesihatan Daerah Baling serta Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Kedah.

Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 di bawah Akta Jualan Dadah 1952 serta Seksyen 17(1) Akta Makanan 1983.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM50,000.

Ringkasan AI

  • Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara membongkar kegiatan pemprosesan minuman herba tanpa kelulusan KKM dengan rampasan RM1 juta
  • Premis tersebut beroperasi tanpa lesen dari Majlis Daerah Baling dan KKM
  • Pemeriksaan menemui pelbagai peralatan memasak dan memproses minuman herba serta akar kayu dengan nilai rampasan RM1.03 juta
  • Dua warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan
  • Kes disiasat mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Makanan 1983, boleh dikenakan denda atau penjara jika sabit kesalahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!