PGA rampas suplemen tidak berdaftar lebih RM1.4 juta

IPOH - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas suplemen tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dimuatkan dalam dua lori, dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.42 juta.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim dalam kenyataan berkata rampasan itu dilakukan dalam satu operasi penguatkuasaan produk kosmetik atau suplemen di kawasan rehat dan rawat Sungai Perak arah selatan, kira-kira 46 kilometer dari sini.
Beliau berkata hasil risikan mendapati produk berkenaan dipercayai dikeluarkan daripada sebuah kilang di Jitra, Kedah untuk diedarkan ke sebuah syarikat di Selangor.
"Tangkapan dan rampasan dijalankan setelah pemeriksaan mendapati produk kosmetik atau suplemen ini tidak memiliki pelekat hologram serta tiada nombor pendaftaran produk Kementerian Kesihatan,” katanya.
Shahrum berkata dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan dan sebanyak 5,000 botol produk suplemen minuman pemutih kulit bernilai RM1.1 juta, 1,008 botol tablet vitamin C bernilai RM100,800 dan dua lori (RM220,000) dirampas.
"Produk kosmetik dan lori dirampas serta diserahkan kepada Penguatkuasa Farmasi Negeri Perak manakala kedua-dua pemandu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Beliau berkata PGA Briged Utara komited untuk terus mempergiat usaha mengekang aktiviti mengilang, menjual, membekal, mengimport, memiliki atau memberikan ubat-ubatan yang tidak berdaftar selain meningkatkan pengawasan serta rondaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Pasukan Gerakan Am merampas suplemen tidak berdaftar bernilai RM1.42 juta
- Operasi dilakukan di kawasan rehat dan rawat Sungai Perak
- Produk dipercayai dikeluarkan dari kilang di Jitra untuk diedarkan ke Selangor
- Rampasan termasuk 5,000 botol produk pemutih kulit dan 1,008 botol tablet vitamin C
- Dua lelaki ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
