Bekas NGO kebajikan didakwa lagi atas 10 pertuduhan

Mohd Hakim (kanan) mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan menyalahgunakan harta milik pertubuhan itu dengan jumlah keseluruhan lebih RM630,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu.
Mohd Hakim (kanan) mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan menyalahgunakan harta milik pertubuhan itu dengan jumlah keseluruhan lebih RM630,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH – Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim didakwa sekali lagi atas pertuduhan menyalahgunakan wang misi kemanusiaan, membabitkan 10 pertuduhan dengan nilai melebihi RM630,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa.

Tertuduh, Mohd Hakim Mohd Nor, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan, telah secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik pertubuhan iaitu wang derma misi kemanusiaan yang dijalankan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2018 hingga November 2021, melibatkan beberapa cawangan bank di Ipoh, Batu Gajah dan Seri Iskandar.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, memohon agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, untuk dibicarakan bersama kes terdahulu yang telah difailkan di mahkamah berkenaan.

Pendakwaan tidak memohon jaminan baharu, sebaliknya mencadangkan agar tertuduh menggunakan syarat jaminan sama yang dikenakan ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.

Peguam tertuduh, Azizzul Shariman Mat Yusoff, tidak membantah permohonan tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan memerintahkan kesemua pertuduhan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk dibicarakan bersama.

Pada Selasa, Mohd Hakim telah didakwa atas enam pertuduhan menyalahgunakan wang misi kemanusiaan membabitkan lebih RM576,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, dengan jaminan RM35,000 dan seorang penjamin. Mahkamah turut menetapkan 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sehari sebelum itu, beliau turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan sama membabitkan jumlah wang sebanyak RM207,000.

Ringkasan AI

  • Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim didakwa menyalahgunakan wang misi kemanusiaan lebih RM630,000
  • Tertuduh, Mohd Hakim Mohd Nor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh
  • Kesalahan dilakukan antara Januari 2018 hingga November 2021 di beberapa cawangan bank di Ipoh, Batu Gajah dan Seri Iskandar
  • Dibawa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara, sebatan dan denda
  • Kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk dibicarakan bersama kes terdahulu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!