Pulau Pinang belum putuskan penganjuran bazar Ramadan

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang belum memutuskan sama ada penganjuran bazar Ramadan di negeri ini dibatalkan atau berlangsung sebagaimana biasa, susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) belum mengeluarkan lesen perniagaan kepada peniaga bazar Ramadan setakat ini.

Menurutnya, keputusan sama ada akan diadakan penganjuran bazar tersebut akan ditentukan berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelak.

"Setakat ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) belum mengeluarkan lesen perniagaan.

"Keputusan adalah tertakluk kepada arahan MKN," katanya ketika sidang media melalui Facebook Live di Komtar tadi.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, pihaknya telah menghubungi dewan perniagaan negeri dan persatuan usahawan Pulau Pinang antaranya Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) cawangan Pulau Pinang bagi mendapatkan maklum balas berhubung membina semula ekonomi di negeri ini.

"Kesusahan golongan usahawan termasuk maklum balas daripada golongan majikan bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ini turut akan saya utarakan pada mesyuarat Sidang Khas MKN: Pengurusan Covid-19 esok," katanya.

Beliau menambah, laporan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang mengesahkan, kebanyakan kes positif Covid-19 di negeri ini adalah daripada kluster tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Kon Yeow berkata, laporan polis Pulau Pinang menyatakan kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini sehingga semalam telah mencapai 95 peratus.