PRK Kinabatangan, Lamag berjalan serentak

Ramlan (tengah) mengumumkan tarikh-tarikh penting PRK Kinabatangan dan Lamag pada Selasa.
Ramlan (tengah) mengumumkan tarikh-tarikh penting PRK Kinabatangan dan Lamag pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berjalan serentak pada 24 Januari 2026.

Menerusi sidang akhbar khas, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun turut mengumumkan penamaan calon pada 10 Januari.

Beliau berkata, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula 10 Januari sehingga 11.59 malam 23 Januari.

"Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara akan dibuka bermula dari 16 Disember.

"Tarikh tutup bagi kategori 1A adalah 8 Januari manakala kategori 1B dan 1C urusan permohonan ditutup pada 6 Januari," kata beliau pada Selasa.

Permohonan undi pos bagi semua kategori, iaitu Kategori 1A melibatkan petugas pilihan raya, polis, tentera dan petugas media.

Kategori 1B adalah warga Malaysia yang tinggal di luar negara dan Kategori 1C iaitu agensi atau organisasi dilaksanakan secara dalam talian.

Menurut Ramlan, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh lapan orang penolong pegawai pengurus.

"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan empat pasukan penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh PDRM, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Ramlan, PRK itu dianggarkan menelan belanja RM10 juta dengan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan.

"Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mengandungi seramai 48,722 orang pemilih yang terdiri daripada 48,526 orang pengundi biasa dan 196 orang polis," katanya.

Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan boleh dibuat juga mulai 5 Januari 2026.

PRK Kinabatangan dan Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu di sebuah pusat perubatan di Kota Kinabalu, Sabah.

Bung Moktar,66, mempertahankan kerusi Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 baru-baru ini dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-10 iaitu pada November 1999, beliau memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.

Dilahirkan pada 15 September 1959 di Sukau, Kinabatangan, Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak.

 

 

Ringkasan AI

  • Hari pengundian PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari 2026
  • Penamaan calon pada 10 Januari dengan tempoh berkempen 14 hari
  • Urusan permohonan undi pos dibuka dari 16 Disember
  • Empat pasukan penguat kuasa Kempen Pilihan Raya ditubuhkan oleh SPR
  • PRK diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!